
MANILA: Gempa bumi bermagnitud 5.1 menggegarkan Bogo City di Cebu pada awal pagi Jumaat, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).
Gempa bumi tektonik itu berlaku 18 kilometer timur laut Bogo City pada 5.39 pagi waktu tempatan, lapor agensi berita Filipina (PNA).


ORANG ramai berkumpul di tempat perlindungan sementara di luar kediaman mereka dalam sebuah projek perumahan untuk mangsa Taufan Haiyan di Bandar Bogo, wilayah Cebu, susulan gempa bumi bermagnitud 6.9 yang melanda pesisir pantai wilayah tengah Filipina lewat 30 September lepas. Foto AFP
Angka kematian akibat gempa bumi kuat di tengah Filipina meningkat kepada 72 orang pada 2 Oktober, menurut pasukan penyelamat, ketika pihak berkuasa kini menumpukan usaha kepada ratusan mangsa yang cedera dan ribuan lagi yang kehilangan tempat tinggal.
Phivolcs berkata gegaran pada kedalaman 10 kilometer itu merupakan gempa susulan daripada gempa bumi bermagnitud 6.9 yang melanda perairan berhampiran pulau Cebu di tengah Filipina pada 30 September lepas.
Tiada kerosakan dilaporkan akibat gempa bumi bermagnitud 5.1 itu.- Bernama-PNA