SYDNEY: Satu lagi gempa bumi menggegarkan pulau utama Vanuatu awal pagi tadi dengan magnitud 6.1, namun tiada kerosakan dahsyat dilaporkan sehingga kini.
Gempa itu dikesan berlaku pada kedalaman 40 kilometer (km) dan berpusat kira-kira 30 km di barat ibu negara.
Tidak seperti gempa sebelumnya, tiada amaran tsunami dikeluarkan ketika gegaran berlaku pada jam 2.30 pagi (1530 GMT, Sabtu).
Gegaran itu dilaporkan berlaku hanya beberapa hari selepas gempa kuat mengorbankan nyawa dan memusnahkan kawasan di kepulauan Pasifik itu.
Sebelum ini, Efate iaitu pulau yang padat dengan penduduk di negara itu, masih terkesan daripada gempa bermagnitud 7.3 pada Selasa lalu, yang meragut 12 nyawa apabila bangunan di ibu negara, Port Vila, runtuh.
Rangkaian mudah alih masih tidak berfungsi sejak awal minggu ini, sekali gus menyukarkan hubungan dengan pihak luar.
Selain itu, gempa pertama turut merosakkan bekalan air dan menghentikan operasi di pelabuhan utama di ibu negara.
Kerajaan Vanuatu mengisytiharkan darurat selama tujuh hari dan perintah berkurung pada waktu malam selepas gempa pertama.
Namun semalam, kerajaan menarik semula penggantungan penerbangan komersial untuk memulihkan semula sektor pelancongan.
Semalam, pasukan penyelamat memaklumkan mereka memperluaskam usaha mencari mangsa yang terperangkap di banyak lokasi runtuhan di luar ibu negara.
Australia dan New Zealand minggu ini menghantar lebih 100 anggota bersama peralatan penyelamat, anjing pengesan dan bantuan kecemasan untuk mencari mangsa yang terperangkap serta melakukan pembaikan segera.
Ketua pasukan penyelamat Australia, Douglas May, berkata terdapat beberapa bangunan runtuh sepenuhnya.
“Kami kini mula meluaskan pencarian untuk melihat jika terdapat mangsa lain yang terperangkap.
“Kami menemui banyak lokasi runtuhan di timur dan barat ibu kota,” katanya.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memetik pegawai pengurusan bencana Vanuatu, lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat gempa pertama dan sebahagian besar kini berlindung di rumah saudara-mara atau pusat pemindahan.
Difahamkan banyak operasi perniagaan termasuk pasar raya masih ditutup.
Vanuatu, sebuah kepulauan dengan kira-kira 320,000 penduduk, terletak di Lingkaran Api Pasifik yang terdedah kepada gempa bumi.
Menurut Majlis Perniagaan Australia-Kepulauan Pasifik, sektor pelancongan menyumbang kira-kira satu pertiga kepada ekonomi negara itu. – AFP