

SEMPORNA: Gegaran gempa bumi bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi tadi turut dirasai sebahagian penduduk di sini menyebabkan mereka mengambil langkah berwaspada susulan amaran tsunami akibat bencana itu yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Pekerja swasta berasal dari Tawau, Hamzah Sainudin, 42, berkata ketika kejadian, dia berada di Jeti Seafest kerana sedang menunggu bot untuk ke Pulau Mabul atas urusan kerja sebelum merasai gegaran itu kira-kira 10 saat.
“Kemudian, saya menaiki bot pada 8.40 pagi dan ketika dalam perjalanan ke pulau, kami sempat singgah ke Jeti Pelancongan Kampung Bangau-Bangau. Keadaan laut ketika itu juga agak bergelora.
“Setibanya di jeti pelancongan, kami dinasihatkan oleh pihak bomba untuk tidak ke pulau atas faktor keselamatan susulan gegaran gempa bumi dan jangkaan tsunami,” katanya kepada Bernama.
Setelah mendengar nasihat itu dan bimbang akan keselamatan, mereka kemudian mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Semporna.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Bugaya, Anas Mulpi, 28, berkata dia turut merasai gegaran kira-kira empat saat ketika melakukan kerja penyelenggaraan.
“Waktu gegaran itu berlaku, saya sedang menaiki tangga untuk membaiki siling di sebuah premis di pekan Semporna dan selepas gegaran berlaku, siren dibunyikan,” katanya yang kemudian segera ke kawasan lapang sementara menunggu keadaan kembali tenang.
Gempa bumi kuat itu melanda Mindanao pada 7.37 pagi pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak di latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.
Berikutan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran tsunami setinggi 0.4 meter yang diramalkan melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu bermula dari 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, sebelum ditamatkan tengah hari tadi. – Bernama