
JAKARTA: Gempa bumi bermagnitud 6.7 menggegarkan kawasan perairan timur Indonesia, hari ini, namun tiada ancaman tsunami dikesan, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
USGS dalam kenyataan memaklumkan gempa berkenaan berlaku pada jam 12.49 tengah hari waktu Indonesia Barat (0549 GMT) dengan pusat gempa terletak pada kedalaman 66 kilometer (km) kira-kira 177 km di barat bandar Tual, di wilayah Maluku timur.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik pula memaklumkan tiada ancaman tsunami susulan gempa itu, manakala agensi geofizik Indonesia menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan gempa berkenaan tidak berpotensi untuk mencetuskan tsunami.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa diterima.
Indonesia yang terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik sering dilanda gempa bumi berikutan kedudukannya di atas kawasan pertembungan beberapa plat tektonik yang aktif, bermula dari Jepun merentasi Asia Tenggara hingga ke Lembangan Pasifik.
Januari 2021, gempa bermagnitud 6.2 yang melanda Sulawesi meragut lebih 100 nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pada 2018, gempa bumi bermagnitud 7.5 diikuti tsunami di Palu, Sulawesi, mengorbankan lebih 2,200 orang.
Tragedi terburuk pernah dicatatkan pada 2004 apabila gempa bumi bermagnitud 9.1 melanda wilayah Aceh, mencetuskan tsunami dan meragut lebih 170,000 nyawa di Indonesia. – AFP