
TAIPEI: Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud menggegarkan Taiwan hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan wartawan AFP melaporkan gegaran dirasai di ibu negara, di sini.
Pasukan bomba telah dikerahkan bagi memeriksa kesan gempa bumi sederhana itu yang berlaku 71 kilometer di selatan Bandar Hualien.
USGS menyatakan bahawa gempa tersebut melanda di luar pantai timur pulau itu pada kedalaman kira-kira 31 kilometer.
“Semasa gempa berlaku, skrin komputer dan kipas bergoyang kuat,” kata seorang anggota bomba di pekan pesisir Chenggong.
“Ia jauh lebih kuat berbanding gempa-gempa sebelum ini. Saya terus terfikir untuk lari keluar,” katanya kepada AFP.
Jabatan bomba Hualien dan Taitung memaklumkan kepada AFP bahawa tiada laporan segera mengenai kerosakan atau korban jiwa.
Perkhidmatan kereta api pada waktu malam di sepanjang laluan timur dilaporkan berjalan seperti biasa selepas gempa yang dilaporkan berlaku pada 7:00 malam (1100 GMT) itu.
Anggota bomba di Taitung, Andrew Liu berkata seramai 25 anggota bomba, termasuk sukarelawan, dan lima kenderaan telah dihantar ke kawasan pesisir paling hampir dengan pusat gempa bagi memeriksa sebarang kerosakan.
“Oleh kerana kawasan tersebut terpencil dan jarak antara lokasi agak jauh, ia akan mengambil masa lebih lama untuk sampai ke setiap lokasi,” kata Liu kepada AFP.
Taiwan sering mengalami gempa bumi kerana lokasinya yang terletak di pinggir dua plat tektonik utama, berhampiran Lingkaran Api Pasifik iaitu kawasan yang dikenal pasti oleh USGS sebagai zon paling aktif secara seismik di dunia.
Gempa bumi kuat melanda negara itu pada April 2024, berukuran 7.4 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, serta mencetuskan tanah runtuh dan menyebabkan banyak kerosakan di sekitar Hualien. Ia disifatkan sebagai gempa paling kuat yang melanda Taiwan dalam tempoh 25 tahun.
-AFP