
KUALA LUMPUR: Tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi bermagnitud 7.5 yang melanda timur laut Jepun pada Isnin, menurut Kementerian Luar Malaysia.
Kementerian itu, yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra, berkata melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, pihaknya sedang memantau keadaan dengan rapi.
“Setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi tersebut. Kedutaan berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memantau perkembangan semasa,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa.
Gempa bumi itu berlaku pada 11.15 malam (waktu tempatan) pada kedalaman 54 kilometer, kira-kira 80 kilometer di luar pantai wilayah Aomori.
Amaran tsunami telah dikeluarkan namun kini telah ditarik balik.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas supaya berwaspada, mengelakkan kawasan pesisir pantai dan mematuhi arahan rasmi pihak berkuasa Jepun.
“Rakyat Malaysia juga amat digalakkan untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan dengan segera apabila diperlukan,” tambah kenyataan itu.
Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo melalui telefon +81-3-3476-3840 (pertanyaan umum) dan +81-80-4322-3366 (kecemasan sahaja) atau melalui e-mel: consular.tyo@kln.gov.my
Wisma Putra berkata pihaknya akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.- Bernama