
ISTANBUL: Gempa bumi bermagnitud 6.0 melanda kawasan barat laut Anchorage, Alaska, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, menurut laporan awal Kajian Geologi AS (USGS), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Gempa bumi itu berlaku pada 1711 GMT di kawasan Susitna pada kedalaman 69.4 kilometer dan kira-kira 12 km di barat laut Susitna, berhampiran Anchorage, bandar paling ramai penduduk di negeri AS berkenaan.
Jabatan Pengangkutan Alaska memaklumkan pihak berkuasa sedang menjalankan pemeriksaan terhadap infrastruktur lebuh raya, lapangan terbang, jambatan dan terowong “bagi memastikan rangkaian pengangkutan kekal berfungsi dengan baik.”
Tiada kerosakan segera dilaporkan dan jabatan itu menyatakan “gangguan perjalanan tidak mungkin berlaku.”
Datuk Bandar Anchorage Suzanne LaFrance berkata pasukan teknikal telah memulakan pemeriksaan terhadap infrastruktur awam dan setakat ini tiada masalah dikenal pasti.
Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa susulan gempa bumi itu.
Menurut maklumat awal, tsunami tidak dijangka berlaku selepas gegaran itu, kata Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan AS.- Bernama-Anadolu