
SAN MARCOS, Mexico: Gempa bumi berskala 6.5 magnitud menggoncang ibu kota Mexico dan kawasan pelancongan di pantai Pasifik semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kematian serta kerosakan sederhana di sebuah bandar kecil berhampiran episenter.
Suruhanjaya Geologi AS (USGS) berkata gempa berlaku sedikit sebelum 8.00 pagi berhampiran Acapulco, sebuah pelabuhan utama dan pusat peranginan.
Gegaran dirasai sejauh kira-kira 400 kilometer (250 batu) ke utara di Mexico City, yang mana penggera dibunyikan dan orang ramai bergegas ke jalan raya untuk menyelamatkan diri.
Seorang lelaki berusia 60 tahun meninggal dunia selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dari pangsapuri tingkat dua di ibu kota, menurut pihak berkuasa tempatan.

Terdapat 12 lagi cedera, menurut kenyataan Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, di media sosial, tetapi tiada laporan kerosakan besar di bandar terbesar negara itu.
Presiden Claudia Sheinbaum terpaksa meninggalkan istana presiden semasa sidang media pagi rutinnya.
Perkhidmatan Seismologi Kebangsaan Mexico berkata episenter gempa terletak 14 kilometer ke barat daya bandar San Marcos, di negeri Guerrero.
Sheinbaum berkata tiada laporan kerosakan besar setakat ini, tetapi di San Marcos, kesannya jelas kelihatan.

Seorang wanita berusia 50-an meninggal dunia apabila rumahnya runtuh, kata Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado.
Datuk Bandar San Marcos, Misael Lorenzo Castillo berkata kira-kira 50 rumah musnah dan semua rumah mengalami retakan.
Penduduk menunjukkan kepada wartawan AFP retakan pada dinding rumah mereka dan sebahagian dinding yang runtuh.
“San Marcos terjejas teruk, musnah,” luah Rogelio Moreno, seorang penduduk, berdiri di hadapan rumahnya yang rosak.
Terjaga Dalam Ketakutan
Mexico terletak di antara lima plat tektonik, menjadikannya salah satu negara paling aktif secara seismik di dunia.
Karen Gomez, pekerja pejabat berusia 47 tahun yang tinggal di tingkat 13 sebuah pangsapuri di Mexico City, berkata dia terjaga akibat siren jalanan.

“Saya terjaga dalam ketakutan. Amaran di telefon bimbit saya menyatakan ia gempa bumi yang kuat.”
Norma Ortega, pengarah tadika berusia 57 tahun yang tinggal di tingkat 10 pangsapuri, berkata dia dapat merasakan bangunannya bergoyang.
Di Acapulco, Ricardo, seorang pelancong dari negeri Morelos, melarikan diri dari hotel tanpa baju selepas siren berbunyi.
Pusat Mexico City dibina di atas tanah lumpur bekas dasar tasik, menjadikannya sangat terdedah kepada gempa bumi.
Pembesar Suara Amaran Gempa
Gempa yang paling kuat biasanya bermula di luar negeri Guerrero di pantai Pasifik.
Pada 19 September 1985, gempa berskala 8.1 magnitud memusnahkan sebahagian besar Mexico City, mengorbankan hampir 13,000 orang, kebanyakannya di bandar itu menurut angka rasmi.
Pada 2017, juga pada 19 September, gempa berskala 7.1 magnitud membunuh 369 orang, juga kebanyakannya di Mexico City.
Sistem amaran awal, termasuk aplikasi telefon pintar, dibangunkan untuk memberi amaran kepada penduduk mengenai gempa kuat dan menggesa mereka mencari keselamatan.
Mexico City juga memasang pembesar suara pada tiang lampu untuk menyiarkan amaran tersebut. – AFP