
JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda perairan barat wilayah Bengkulu, Indonesia pada pagi Jumaat, mengakibatkan beberapa orang cedera dan beberapa rumah rosak.
“Gegaran dirasai dengan kuat oleh penduduk di Kota Bengkulu,” kata Setiausaha Agensi Pengurusan dan Mitigasi Bencana Wilayah Bengkulu, Reza Afriyanto kepada Xinhua.
Kira-kira 33 buah rumah dan sebuah bangunan mengalami kerosakan di Kota Bengkulu, manakala beberapa penduduk turut cedera.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini di wilayah itu, menurut laporan media tempatan.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia pada awalnya melaporkan gempa itu berukuran 6.3 pada skala Richter sebelum menyemak semula kepada 6.0.
Gegaran berlaku pada 2.52 pagi waktu Jakarta, Jumaat (1902 GMT Khamis), dengan pusat gempa terletak 47 kilometer barat daya Kota Bengkulu pada kedalaman 84 kilometer di bawah dasar laut.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan.– Bernama-Xinhua