
DHAKA: Sekurang-kurangnya tiga orang maut apabila pagar penghadang sebuah bangunan runtuh menimpa mereka selepas gempa bumi kuat melanda kawasan Koshaituli, Dhaka pada Jumaat, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Timbalan Pesuruhjaya Bahagian Lalbagh Polis Metropolitan Dhaka, Mallik Ahsan Uddin Sami berkata identiti mangsa belum dapat disahkan.
Selain itu, ramai pekerja di beberapa kilang di Gazipur dilaporkan cedera ketika mereka bergegas keluar menyelamatkan diri sewaktu gegaran berlaku.
Gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter menggegarkan Dhaka dan beberapa kawasan lain di Bangladesh pada pagi Jumaat, menurut Jabatan Meteorologi Bangladesh (BMD).
Gegaran berlaku sekitar 10.38 pagi dan berlanjutan hampir satu minit.
Menurut BMD, pusat gempa terletak 13 kilometer di timur Pusat Seismik BMD di Agargaon, Dhaka.- Bernama-UNB