
MOSCOW: Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda persisiran timur Semenanjung Kamchatka, Rusia, semalam menurut Perkhidmatan Geofizik tempatan, lapor Xinhua.
Gempa itu berlaku pada 1858 GMT dengan pusat gegaran terletak kira-kira 149 kilometer dari Petropavlovsk-Kamchatsky, ibu wilayah Kamchatka, pada kedalaman 39 kilometer, menurut cawangan Kamchatka di Survei Geofizik Akademi Sains Rusia.
Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov, berkata dalam hantaran di Telegram bahawa amaran tsunami telah dikeluarkan bagi pesisir timur semenanjung itu dan penduduk sedang dimaklumkan.
Semua agensi berkaitan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, katanya sambil menambah bahawa pihak berkuasa memulakan pemeriksaan segera terhadap kemudahan awam dan bangunan kediaman selepas gempa berlaku.
Dalam kemas kini berikutnya, Solodov berkata gelombang setinggi 1.5 meter dijangka melanda beberapa kawasan pesisir, manakala di kawasan lebih padat penduduk di Petropavlovsk, ketinggian ombak dianggarkan kurang daripada 0.1 meter, menurut pihak berkuasa hidrometeorologi. Beberapa siri gegaran susulan turut direkodkan, termasuk sekurang-kurangnya 10 yang berukuran melebihi magnitud 5, menurut data perkhidmatan geofizik tempatan. – Bernama