Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Gema Pascamodenisme dalam Pengaruh Dimensi Silang
  • WBS

Gema Pascamodenisme dalam Pengaruh Dimensi Silang

Utusan Sarawak 8 hours ago

MANA SIKANA (2009) menegaskan bahawa teks-teks yang beraliran pascamodenisme tidak memiliki pola struktur yang konvensional, berpecah-pecah, tiada kesatuan, mementingkan pemikiran,  ideologi dan tidak bergantung kepada cerita.

Makna yang hendak disampaikan bukan sahaja tersirat tetapi kadang-kadang tidak diucapkan, berlapis, hilang dalam pandangan indera bacaan dan khalayak terpaksa bekerja mencari makna yang tersembunyi.

Teks sastera yang lahir dan memperlihatkan nuansa pascamodenisme merupakan karya yang membebaskan diri daripada realisme.

Persejarahan aliran memanifestasikan bahawa pemberontakan terhadap aliran realisme berlaku pada  abad ke-19 apabila kepercayaan terhadap sains semakin menebal dan impak daripada Perang Dunia yang menimbulkan penentangan sosial, kepercayaan kepada agama semakin pudar serta keluar dari jiwa manusia dan pendirian realisme gagal menemukan kebenaran.

Teks-teks yang beraliran pascamodenisme bersifat dekonstruktif, interteks, semiotikal, parodi, realisme magis, surealisme, eksistensialisme, absurdisme dan menentang konvensional.

Sehubungan dengan itu, didapati cerpen yang bertajuk “Pengaruh Dimensi Silang” (PDS) karya Marilyn Albert Matu ini memperagakan gema pascamodenisme sebagai naratif dan stail penciptaan.

Pengarangnya memperlihatkan penentangan terhadap aliran konvensional dengan menghadirkan aliran pascamodenisme yang bernuansa surealisme, eksistensialisme, absurdisme, realisme magis dan semiotikal.

Surealisme menghamparkan kebenaran yang didapati daripada keadaan kacau-bilau, kontradiksi, tidak bermoral, tidak siuman dan tidak mempunyai ketentuan yang rigid.  Surealisme juga melemparkan manusia ke dalam situasi  kekacauan dan kondisi kebebasan fikriah selain memanifestasikan dunia mimpi, ilusi dan percikan bawah sedar manusia.

Penulis PDS berjaya membawa khalayak ke dunia mimpi dan ilusi menerusi watak Archro yang diberi nama Woster43 dan Hamprez diberi nama Castrix44 ketika memasuki portal ajaib dan bertemu dengan Blacky66.

Dalam portal ini, mereka berdua disajikan dengan pengalaman luar biasa apabila diheret ke alam fantasi dengan menggunakan karpet terbang dan melawati perkampungan yang dihuni seramai 666 orang  dan kehidupan mereka berubah setiap tahun (dunia ketidaktentuan).

Dunia mimpi dan ilusi yang dicipta oleh Marilyn semakin unik dan tidak memiliki ketentuan yang rigid apabila konteks masa yang amat berbeza dengan dunia biasa, iaitu satu hari di dunia ajaib bersamaan dengan 10 hari di dunia manusia yang menunjukkan latar masa yang singkat di dunia ajaib.

Penduduk kampung juga unik kerana memiliki kod QR pada tengkuk masing-masing dan hanya boleh diakses oleh orang tertentu dan bahasa pertuturan mereka juga asing.

Jika disorot, PDS memaparkan teks dunia futuristik dalam arus globalisasi yang mencerminkan ciri-ciri dan nuansa kehidupan yang kompleks, ketidaktentuan, kekaburan dan perubahan yang pantas.

Golongan wanita pula memasak makanan  dari sumber tempatan namun resipinya pelik. Dalam perjalanan luar biasa itu, mereka juga dibawa ke perkampungan Ti Pu Ti Pu yang seram dan dihuni oleh burung gergasi pemakan darah dengan sayap emas dan memakai topeng (luar biasa).

Penulis PDS juga menyebut tentang makhluk dari alam “angker” (makhluk tidak menyerupai objek) yang sepatutnya dijauhi ketika menegur tindakan Archro dan Hamprez  yang mempercayai makhluk misteri akibat taksub untuk menjadi kaya.

Kepelikan, keanehan, dunia mimpi dan ilusi merupakan ciri karya yang beraliran pascamodenisme.

Pengkisahan cerita juga memaksa khalayak bekerja untuk mencari makna yang tersembunyi di sebalik keghairahan watak memasuki dunia asing yang penuh fantasi dan unsur keluarbiasaan.

Walau bagaimanapun, penulisnya berdaya mengheret pembaca untuk menelusuri pengembaraan kedua-dua watak yang melambangkan karakter dunia pascamodenisme yang membebaskan diri mereka daripada tunjang kerohanian sebaliknya ghairah untuk memasuki dunia kesyirikan (alam syaitan).

Sementara eksistensialisme memfokuskan bahawa manusia berhak ke atas segala tindakan dan keputusan yang dibuat dan perlu bertanggungjawab di atasnya kerana ianya pasti akan mewujudkan kesan yang tersendiri sesuai dengan keputusan yang dibuat tanpa dipengaruhi oleh sebarang unsur luar (agama dan kepercayaan).

Menurut Idris Zakaria (2004), eksistensialisme menentukan satu-satunya cara hidup tulen dan benar ialah cara yang ditentukan sendiri oleh masing-masing individu dan manusialah yang mencipta makna kehidupan dengan haluan pilihannya sendiri tanpa kongkongan sesiapa.

Eksistensialisme memfokuskan cara manusia bertindak balas dengan dunia yang membabitkan diri individu dalam proses interaksinya  sebagai titik bicara.

Archro dan Hamprez yang mewakili manusia yang ingin memenuhi matlamat hidup mereka tanpa memikirkan risiko, prinsip dan pegangan sebaliknya bertuhankan nafsu. Mereka bertindak balas dengan dunia digital melalui media sosial dengan  memilih populariti.

Justeru, pemikiran yang hendak disampaikan Marilyn condong kepada pemikiran kebebasan manusia membuat pilihan tanpa menoleh natijah daripada perbuatan mereka sebagaimana pilihan yang dibuat oleh  Archro dan Hamprez.

Mereka menyelesaikan persoalan kehidupan dengan kebebasan. Kebebasan yang dipilih oleh mereka menandakan bahawa mereka  telah mencipta haluan sendiri untuk mendapatkan kemewahan.

Mereka  sanggup membuat perjanjian dengan syaitan di dunia ajaib demi kekayaan, kemegahan serta populariti keduniaan sebagai pempengaruh di media sosial.

Tindakan penulis  yang menukangi dua watak ini untuk memasuki portal ajaib yang tersembunyi di sebalik pohon ara demi memenuhi matlamat dan tekad mereka, menandakan bahawa penulisnya sudah menggemakan eksistensialisme kerana telah berjaya melemparkan kedua-dua watak ini untuk menentukan pilihan sendiri dari segi cara hidup tulen dan benar bagi mereka.

Mereka sanggup menentang sistem norma, nilai dan kepercayaan agama demi kebebasan dan kemewahan yang berakhir dengan  tragedi.

Secara jelas PDS menggemakan ciri karya pascamodenisme sebagaimana penegasan Mohamad Nazri Ahmad (2011)  bahawa pemikiran yang dapat dilihat dalam karya absurd  meliputi persoalan kehidupan manusia.

Eksistensialisme bersifat radikal dan nihilis kerana menolak agama sebaliknya mempercayai kewujudan kuasa ghaib (jin dan syaitan) sebagai entiti berkuasa.

PDS menggemakan ciri ini menerusi ritual dan perjanjian dengan syaitan setelah memasuki portal ajaib dan 2.0.

Sifat ini juga terdapat dalam karya yang bersifat absurdisme. Absurdisme mementingkan curahan perasaan dalaman manusia yang mempersoalkan  hakikat hidup dan menentang konvensional.

Mohamad Nazri Ahmad (2011) menegaskan bahawa teks yang bercirikan absurdisme memberi penekanan terhadap isu-isu universal (yang terpenggal daripada hal-ehwal kerohanian) sebagai tema dan dasar pemikiran dalam karya.

Dalam PDS, situasi ritual yang seram,  muzik ghaib, langit bergemuruh dengan dentuman yang kuat, pintu langit terbuka dan seluruh penghuni membentuk formasi menyerupai huruf  S dan dikendalikan lelaki berjubah putih yang dipenuhi tatu tidak mematahkan tekad mereka berdua kerana impian untuk mendapatkan kemewahan.

Setelah keluar dari dunia portal dan kembali ke dunia biasa (masih dunia mimpi dan ilusi mereka) didapati kereta mereka telah bertukar menjadi kereta mewah dan kehidupan mereka berubah.

Penulis mengkhayalkan mereka dengan buaian kekayaan, kemegahan dan populariti. Media sosial mereka yang diberikan nama DuoParanormal444 telah mendapat pendapatan yang tinggi  dan luar biasa.

Mereka berdua memiliki teman wanita keliling pinggang (sebelum itu tiada teman wanita),  mengamalkan gaya hidup mewah (melancong tanpa perlu mencatu perbelanjaan seperti sebelumnya) berpuluh-puluh ribu wang ajaib masuk ke dalam almari khas di rumah mereka yang tidak dapat dibuka kecuali dengan kedua-dua tapak tangan mereka (unsur magis) dan mereka menjadi pempengaruh yang terkenal serta diundang untuk berkongsi rahsia kejayaan mereka di media sosial.

Jelasnya, kewujudan kuasa jin dan syaitan yang dipuja dalam acara ritual telah memenuhi kehendak mereka untuk menjadi kaya dan mewah dalam sekelip mata.

Perjanjian dengan syaitan dan kemewahan yang dinikmati telah memenggalkan mereka dengan hal ehwal kerohanian.

Kekayaan yang berlimpah dengan rumah agama, kereta mewah dan wang yang muncul tanpa henti memberikan keuntungan namun memendekkan usia mereka. Mereka berdua tidak sedar bahawa mereka terperangkap dalam perjanjian syaitan akibat terlalu ghairah mengejar kemewahan.

Semua kemewahan (rumah agam, emas, wang beratus-ratus ikat) musnah dan ghaib dari pandangan mereka.  Akhirnya, penyesalan mereka tidak berguna kerana perbuatan syirik yang menyimpang dari landasan agama  telah menghanyutkan mereka untuk mengecapi kemewahan yang sementara dalam dunia ilusi dan mimpi.

Pertengkaran tentang kesepakatan dan sikap terburu-buru membuat keputusan kerana memilih jalan yang salah sudah tidak berguna.

Kehilangan organ dalaman setelah “post mortem”  mencitrakan akibat perbuatan syirik mereka yang sengaja dinaratifkan penulis agar dapat memperlihatkan natijah buruk apabila terlalu mengejar duniawi dan mengikut telunjuk syaitan. 

Syaimak Ismail dan Muhammad Saiful Islam Ismail (2020) menyatakan bahawa manusia mudah dipengaruhi kuasa ghaib yang disifatkan sebagai makhluk halus seperti hantu, syaitan, jembalang atau jin yang menjadi penunggu dan mempengaruhi manusia sehingga mampu berhubung dengan perkara ghaib.

Keanehan turut berlaku pada jasad mereka apabila di belakang badan mereka ditampal kod QR dan video yang menunjukkan kehidupan baharu mereka di alam lain.

Tindakan Marylin menampalkan kod QR dan video pada kedua-dua watak,  menandakan bahawa setelah kematian wujudnya kehidupan di alam lain (akhirat), iaitu dimensi yang lebih tinggi dan melangkaui pemahaman manusia biasa seperti syurga dan neraka.

Dalam PDS,  eksistensialisme turut bergelumang dengan realisme magis apabila penulisnya mewujudkan wajah-wajah misteri. 

Pilihan mereka untuk kebebasan dalam mencapai matlamat hidup bukanlah sewenang-wenangnya kerana diwujudkan “bayangan misteri tanpa wajah” yang mengawasi dan memerhati setiap pergerakan mereka.

Bayangan misteri ini  muncul di tandas, di atas siling dan bertenggek di atas perabot. Makhluk ini hanya kalah dengan lagu-lagu kerohanian dan ayat-ayat suci sehingga matanya menjadi merah dan menjelirkan lidahnya yang panjang persis syaitan. Mereka berdua tidak dapat mengerjakan ibadat dan berhenti melakukan amal ibadat akibat halangan makhluk misteri dan pintu hidayah sudah tertutup.

Hakikatnya, Marilyn menghantar mesej secara halus bahawa tindakan membelakang nilai kerohanian dan penolakan pada larangan agama oleh mereka berdua dengan memilih kebebasan untuk mencapai matlamat kehidupan sehingga tenggelam dalam dunia syirik, mendatangkan karma apabila mereka berdua  tidak dapat melakukan amal ibadat (akibat telunjuk syaitan).

Impaknya, mereka menjalani kehidupan dengan berkiblatkan antirohaniah, antiagama dan antisahsiah serta kekosongan makna hidup. Alur dan pola kehidupan mereka diatur oleh syaitan yang memerangkap mereka dalam sistem dunia ajaib atas kehendak mereka sendiri.

Mereka tidak menyedari bahawa ritual syaitan yang mengikat mereka sebenarnya melibatkan pengorbanan darah yang memperlihatkan amalan syirik dari segi hukum agama dan mengundang dosa besar.

Walau bagaimanapun, teks ini masih  lagi beracuan tempatan dan  nilai-nilai agama masih wujud ketika watak Archro dan Hamprez menyesali tindakan dan keputusan mereka menjadi pempengaruh terkenal setelah semua kemewahan yang dikecapi musnah.

Mana Sikana (1983) menegaskan bahawa absurdisme yang berkembang di negara ini bukan falsafahnya, konsep atau prinsipnya tetapi hanya stail dan bentuknya.

Penulis mungkin boleh mencabar diri untuk mengemukakan falsafah, konsep atau prinsip  absurdisme dan eksistensialisme pada naskhah yang lain.

Berdasarkan plot yang dihamparkan oleh Marilyn, didapati plot tidak lagi mematuhi aliran konvensional kerana khalayak dipaparkan dengan pengakhiran cerita pada awal naratif PDS dengan kematian dua watak utama, iaitu Archro dan Hamprez dalam kereta berhampiran pohon Ara.

Dalam dunia absurdisme, kedua-dua watak ini memperlihatkan pergolakan secara  simbolik sebagai alat penulis untuk menyampaikan amanat dan mesej tentang cabaran dan desakan dalam kehidupan.

Susunan plot dalam PDS, didapati bertenaga menerusi penerokaan kedua-dua watak dalam dunia ajaib, namun penuh kecelaruan yang disatukan dalam dunia mimpi dan ilusi sehingga  mereka berada dalam portal ajaib.

Pengolahan naratif sebegini jelas  menandakan gema absurdisme  yang menuntut khalayak membuat pembacaan dengan teliti.

Plot yang jungkar balik, tidak linear dan berpecah-pecah (fragmentation) ini juga mendesak pembaca untuk meningkatkan daya penghayatan kerana kedua-dua watak mengharungi pelbagai dunia seperti dunia mimpi, ilusi, dunia ajaib, portal 2.0 dan dunia biasa yang disatukan dalam mimpi dan ilusi.

Setelah keluar dari dunia portal 2.0, penulis seolah-olah mencipta dunia mimpi dalam mimpi apabila kedua-dua watak yang masih dalam keadaan bawah sedar atau “unconsciousness” (pemikiran, perasaan dan memori yang tidak disedari tetapi dapat mempengaruhi tingkah laku dan keputusan seseorang secara mendalam) masih berada dalam dunia mimpi dan ilusi dengan mengecapi kemewahan duniawi hasil perjanjian syaitan tersebut.

Plot bergerak dengan pantas kerana tanpa disedari, mereka masing-masing terkejut (teknik kejutan kepada watak) dan hairan kerana mereka sudah berkeluarga. Anak dan isteri mereka kelihatan ganjil seperti nenek kebayan dan anak-anak mereka hodoh dan kerdil (syaitan jelmaan).

 Tuntasnya, plot PDS masih menarik dan bersesuaian dengan ciri karya pascamodenime melalui paparan pelbagai latar dunia ajaib yang bergelut dengan kecelaruan, keanehan dan keluarbiasaan.

Walau bagaimanapun, kekemasan plot menerusi unsur yang menarik seperti metafiksyen boleh dibaur dan disimbiosiskan dengan kata-kata berfalsafah bagi mengukuhkan lagi ciri pascamodenisme.

Semiotikal dalam pascamodenisme tidak dapat dipisahkan. Semiotikal bersinonim dengan Teori Semiotik (Pierce, Saussure dan Umberto Eco) yang mengkaji segala sistem perlambangan yang diciptakan manusia sepanjang kehidupannya.

Joyana Dilam Clement (2020, menegaskan bahawa lazimnya simbol atau lambang yang digunakan oleh pengarang dalam sesebuah karya memiliki kepelbagaian makna tersirat yang perlu dikenal pasti, seterusnya ditafsir dan diintepretasikan oleh pembaca mahupun pengkaji.

Sara Beden (2022) menyimpulkan bahawa simbol ialah penjenisan lambang-lambang yang merujuk kepada sebuah tanda yang dibawa oleh penanda dengan memberi petanda yang merujuk kepada erti, makna dan  konsep yang mewakili dan memberikan makna kepada sesuatu.

Penulis PDS menggunakan simbolik yang memberikan makna mendalam bagi menyampaikan amanatnya. Mimpi merupakan salah satu simbolik yang signifikan dalam PDS.

Watak Archro dan Hamprez memiliki mimpi yang serupa, mimpi jatuh dari bangunan tinggi (imej ancaman), sering bermimpi dikejar lembaga seram (imej ngeri dan ancaman) dan  binatang buas (imej ancaman/ngeri).

Hakikatnya, mimpi-mimpi ini memberikan makna dan gambaran awal kepada mereka bahawa kehancuran, keburukan dan kemusnahan sedang menunggu mereka  di hadapan.

Kemewahan yang dikecapi mereka  melambangkan kehancuran moral dan spiritual kerana mereka terlalu tunduk dengan tuntutan duniawi.

Mimpi-mimpi tersebut menjadi kenyataan apabila mereka mengalami musibah apabila segala kemewahan mereka sirna sekelip mata, media sosial digodam dan mereka dituduh menyebar ajaran sesat sehingga mendapat kecaman dan hinaan.

Tindakan kedua-dua watak yang terlalu mengagungkan dunia eksistensialisme demi kemewahan menyebabkan mereka terperangkap dalam perjanjian syaitan.

Pertolongan kuasa jahat dalam ritual semasa bulan purnama dengan menggunakan enam ekor kelawar dan mantera, akhirnya memakan diri mereka sendiri kerana mereka dikaburi kuasa jahat yang memiliki agenda tersembunyi untuk menghancurkan mereka. Kenapa kelawar dipilih oleh penulis?

Adakah kelawar merupakan simbol haiwan yang memiliki kuasa magis maka digunakan dalam ritual? Kebarangkaliannya ada kerana kelawar memiliki imej pemujaan.

PDS juga menggunakan lambang ikon, iaitu Blacky66 yang ditemui oleh Archro dan Hamprez setelah memasuki portal ajaib yang memberikan bayangan atau miripan pemimpin yang berkuasa mutlak dengan penampilan garang.

Penampilan Blacky66 dengan bandana merah  menutup sebelah matanya bukan sekadar pakaian, tetapi melambangkan ketua atau individu yang dominan, agresif, jiwa pemberontak, penuh misteri, berwibawa dan berani.

Penampilan kekuasaan Blacky66 dapat dirasai mereka berdua menerusi kejutan elektrik yang menyusup masuk  ke tubuh mereka ketika berjabat tangan dengannya.

Simbol warna “merah” yang digunakan oleh penulis untuk bandana yang dipakai Blacky66, pakaian warna merah yang dipakai penduduk kampung ketika ritual perjanjian dan bola mata makhluk misteri bertukar merah menandakan keberanian, kemarahan, kezaliman dan sinonim dengan kejahatan syaitan yang menyukai darah dalam konteks teks ini. 

Dalam ritual perjanjian, darah menjadi syarat untuk pengorbanan.

Selain itu, penulis juga mengembalikan sejarah silam iaitu penggunaan analogi “ala-ala hamba abdi  zaman Firaun” yang merupakan ciri karya pascamodenisme yang menyusur kembali wadah sejarah. “Ala-ala hamba abdi zaman Firaun” ialah bayangan dan analogi kepada penindasan, kekafiran dan kekerasan.

Figura “Firaun” merupakan ikon yang membayangkan imej kejam, zalim, sombong, simbol antagonis, bengis, “fasik”  dan pemimpin yang terkenal dengan kebatilan. Dunia yang dimasuki mereka berdua, bukan sahaja aneh namun memperlihatkan penindasan, kekejaman dan kerahan tenaga kepada penghuni yang dipaksa melakukan kerja berat sebagai buruh paksa.

Buruh-buruh paksa dikerah untuk membina “Istana Kristal” untuk menyimpan harta karun secara magis selama 60 hari waktu manusia yang bermakna enam hari di dunia ajaib tersebut.

Walau bagaimanapun, mereka semua diberikan kuasa ajaib (magis) untuk menghasilkan senibina yang unik tanpa bekerja berat. Penggunaan simbol “Firaun”, kerahan tenaga dan buruh paksa yang disuguh oleh Marilyn melambangkan kezaliman dan penindasan oleh golongan berkuasa.

“Istana Kristal” yang dibina merupakan simbol atau lambang kemegahan dan kemewahan  yang bertepatan dengan misi mereka (golongan berkuasa) untuk menjadi persatuan elit terkaya di dunia.

Hakikatnya, penulis PDS memberikan bayangan bahawa inilah “permainan  dan drama” dunia korporat dan elit yang disampai menggunakan simbol (ikon dan indeks) dalam teks yang beraliran pascamodenisme.

Dalam memperkaya manuskrip ini dengan simbolik, Marilyn turut menggunakan “pohon Ara gergasi” sebagai latar tempat  wujudnya portal ajaib yang dimasuki Archro dan Hamprez untuk ke dunia ajaib.

Mengapakah pohon Ara digunakan dalam teks ini dan bukan pohon yang lain? Sudah tentu penulisnya menyedari impak dan signifikasi penggunaan pohon Ara tersebut. Pohon Ara (bersaiz besar dan jangka hayatnya panjang) dan lazimnya dikaitkan dengan kehadiran makhluk ghaib atau penjaga alam (habitat makhluk ghaib) dan pemujaan yang bersesuaian dengan langgam penciptaan PDS yang menggembleng dunia biasa dan dunia ajaib.

Jika disorot, didapati teks ini menuju kepada serpihan-serpihan interteks secara nipis kerana Marylin membaurkan PDS dengan naratif lain (Sejarah Firaun dan Piramid) yang memberikan kesan pada alur cerita dan isu-isu yang hendak dikemukakan oleh beliau secara tersembunyi dan memerlukan penghayatan.

Seterusnya, perkampungan yang dinamakan Ti Pu Ti Pu (sinonim dengan makna harfiah leksikal tipu ) di dunia ajaib  yang dihuni oleh burung gergasi menganalogikan  sifat manusia dan corak kehidupan masa kini yang penuh dengan unsur penipuan, hipokrit, ketidakjujuran dan penyelewengan.

Penggunaan simbol “Burung gergasi pemakan darah” merupakan bayangan atau miripan ikon tokoh pemimpin mahupun individu berkuasa yang melakukan kekejaman, kezaliman dan penindasan kepada pihak bawahan atau golongan yang lemah. 

Penggunaan imej “Burung gergasi” (imej kekuasaan) pula mencitrakan kekuatan dan kekuasaan yang besar dan sukar diatasi.  Sementara penggunaan simbol  “sayap emas” memaknakan kemewahan dan dunia materialistik kerana “emas” (galian bernilai tinggi) melambangkan kemewahan dan kekayaan.

Peneguhan makna simbol ini ditambah lagi dengan “memakai topeng beraneka warna” yang melambangkan variasi karakter manusia yang  sukar diramal, malahan  ada yang hipokrit.

Dalam konteks ini, Marilyn hendak menegaskan bahawa dalam dunia yang kompleks dan penuh persaingan ini, manusia sanggup melakukan apa-apa sahaja demi mencapai kejayaan, kemewahan dan pengaruh, hatta melakukan penindasan dan kezaliman.

Hakikatnya, golongan yang berkuasa akan terus berada di atas dan sebaliknya.

Penulis PDS juga memperlihatkan keprihatinannya dengan era semasa, iaitu era revolusi, globalisasi dan digitalisasi dengan mengemukakan simbol seperti kod QR, Portal 2.0, Dunia pempengaruh, telekomunikasi, Duoparanormal444, media sosial, medsos, followers dan viewers.

Penggunaan simbol-simbol ini menandakan pemilihan leksikal yang relevan dan berasosiasi  dengan era digital yang dominan dalam kehidupan manusia masa kini. “Dunia pempengaruh” merupakan tema yang dipilih oleh Archro dan Hamprez ketika mereka membuat ritual utama setelah memasuki portal ajaib yang memanifestasikan tujuan dan pilihan mereka untuk menjadi pempengaruh terkenal.

Tujuan dan hasrat ini mencitrakan imej ketagihan dan ketaksuban terhadap media sosial pada era ini. Media sosial menjadi medan interaksi utama sehingga manusia berada pada tahap “kegilaan” untuk meraih jutaan peminat dan keuntungan sehingga mengesampingkan nilai-nilai kerohanian dan agama.

Ringkasnya, simbol-simbol yang digunakan dalam teks ini, bukan sahaja menyampaikan makna malahan menyuguhkan mesej tentang kehidupan sebagai peringatan kepada khalayak dari segenap lapisan agar tidak tersilap langkah dalam mencapai memilih alur dan radar kehidupan.

Penghayatan terhadap PDS turut menyuguh unsur parodi. Parodi merupakan hasil karya yang disampai dengan cara  menyindir selain lucu. Penulis PDS memparodikan kisah sebenar manusia pada era ini yang terlalu taksub dengan media sosial sebagai tindakan menyindir dan mengkritik sikap masyarakat.

Keghairahan dengan dunia media sosial mendesak pempengaruh menyiarkan perkara-perkara yang tidak senonoh  atau yang tidak seharusnya ditayangkan kepada khalayak demi meraih populariti dan keuntungan.

Walau bagaimanapun, perkara yang lebih buruk lagi apabila ada dalam kalangan pempengaruh yang memuja dan menggunakan kuasa syaitan untuk mengukuhkan populariti, meraih peminat dan peluang perniagaan demi keuntungan tanpa memikirkan aspek moral dan larangan agama.

Penelitian terhadap “podcast” dalam laman Tiktok, jelas memperlihatkan bahawa segelintir dalam kalangan pempengaruh media sosial  memuja syaitan (mantera dan ritual) untuk mendapat keuntungan (banyak peluang mendapat kewangan). 

Watak Archro dan Hamprez merupakan mangsa  ketaksuban terhadap media sosial untuk meraih populariti dan keuntungan sehingga memilih kebebasan untuk mencapai matlamat.

Kesimpulannya, PDS merupakan naskhah yang menggemakan ciri-ciri pascamodenisme dan masih lagi beracuankan nilai tradisi yang sarat dengan mesej rohaniah dan kritikan sosial serta disampaikan secara simbolik.

Mesej dan persoalan dalam PDS dianalogikan dengan pemikiran kebebasan dalam mencapai matlamat dan persoalan kehidupan.

Marilyn berjaya memperagakan pelbagai simbol secara simbolik dan dramatik sehingga menyerlahkan unsur semiotikal untuk menyampaikan mesej tentang hakikat dan cabaran kehidupan pada era Revolusi Industri 4.0 ini dalam PDS.

Kebebasan dalam memilih alur kehidupan, menyebabkan seseorang menjadi khilaf dan terjebak dengan alam perjanjian syaitan demi populariti dan kemewahan akibat ketaksuban terhadap media sosial.

PDS juga menyerlahkan isu kekuasaan, penindasan dan kezaliman  yang dikanvaskan oleh tindak tanduk para watak di dunia ajaib yang disampaikan oleh penulis secara remang-remang dan bersembunyi di sebalik simbol yang dipilih agar berupaya  memberikan kesedaran kepada khalayak demi kemaslahatan umat.

Oleh Sara Beden

Continue Reading

Previous: Mencari Keindahan dalam Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.