Oleh: Reagan Niru
“PUNG, PUNG, PUNG”
Alunan bunyi gong membuatkan aku tersedar dari tidur. Ah, aku bermimpi rupanya. Aku menggosok mata dan memandang sekeliling, masih di dalam bilik, rasa sejuk penghawa dingin menusuk sampai ke tulang. Bunyi gong itu masih bergema di telingaku, seakan memanggil-manggil, alunan nyanyian Dayung Borih di atas ayun sungguh mengasyikkan, membawa aku kembali ke dalam dunia yang penuh dengan warna dan kehidupan.
Aku berbaring seketika, cuba mengingati mimpi yang baru sahaja kualami. Dalam mimpi itu, aku berada di sebuah rumah gawai yang besar, dikelilingi oleh orang-orang yang sangat aku kenali. Suasana di dalam rumah itu sungguh meriah, bawar dihias yang didirikan di tengah-tengah ruai rumah gawai berdiri teguh, dihiasi dengan daun solin i’ieng dan daun pingingat biru yang sangat jarang kulihat. Dari jauh, kedengaran sapaan mesra dari suara yang sangat aku rindui, Babai dan Sumbuk, yang tiba-tiba muncul dan menyentuh bahuku dengan penuh kegembiraan. Mereka tersenyum lebar, mata mereka bersinar dengan keriangan, seolah-olah aku telah lama hilang dan kini kembali ke pangkuan keluarga.
Mereka mengajakku duduk, dan segera aku disajikan dengan hidangan yang amat istimewa, menu wajib perayaan Gawai seperti pekasam ikan dan lemang. Aroma pekasam yang kuat menambah selera, sementara lemang yang lembut dan berasap memikat lidah. Setiap suapan pekasam ikan yang aku rasakan bagaikan satu kenikmatan yang tiada tandingan. Rasa masin yang lemak dari ikan yang diperap sempurna begitu menyatu dengan kehangatan sambal cili padi yang pedas dan beraroma pembuka selera. Setiap kali aku menggigit, rasa pekasam yang agak kuat itu membangkitkan selera, sementara sambal cili yang pedas menyegarkan tekak, menjadikan aku tidak berhenti menikmatinya. Keunikan rasa yang berpadu antara ikan yang berperisa dan sambal yang pedas ini membuatkan setiap suapan terasa begitu memuaskan, dan aku semakin tidak sabar untuk terus mengulanginya. Ia bukan sekadar hidangan, tetapi satu pengalaman rasa yang menggembirakan hati dan mengundang kenangan indah setiap kali dinikmati.
Alunan gong yang merdu dan berirama terus berbunyi, mengiringi setiap gerakan dan langkah dayung borih, babai pinyigar dan babai pinguguoh yang menari mengelilingi bawar. Bunyi itu bukan sahaja memeriahkan suasana, tetapi seolah-olah membawa aku lebih dekat dengan tradisi yang telah lama wujud dalam keluargaku. Mereka menari mengikut irama, dan aku turut terhanyut dalam kegembiraan itu, bergerak tanpa sedar, mengikuti setiap gerak tarian yang penuh dengan simbolik dan makna.
Mimpi itu begitu nyata, seakan-akan aku benar-benar berada di sana. Perasaan itu begitu kuat, seolah-olah waktu itu berhenti, dan aku merasakan kehangatan dan kasih sayang yang melimpah dari keluarga dan sahabat-sahabat yang ada di sekelilingku. Setiap senyuman, tawa, dan pelukan mereka memberikan rasa aman yang sukar digambarkan. Ada sesuatu yang begitu mendalam dalam perasaan itu, seperti aku akhirnya menemui kembali akar tradisiku yang telah lama terlupakan.
Namun, sebaik sahaja aku ingin lebih mendalami mimpi itu, suasana itu mula menghilang sedikit demi sedikit. Suara gong semakin perlahan, dan wajah Babai dan Sumbuk semakin kabur di mataku. Aku cuba untuk memanggil mereka, namun suara aku hanya terperangkap di dalam hati. Perlahan-lahan, mimpi itu pudar, meninggalkan aku dengan perasaan yang sukar ditafsirkan—perasaan rindu yang begitu dalam, dan keinginan untuk kembali merasai suasana yang pernah aku bayangkan.
Aku bangkit dari katil dan duduk di tepi jendela, merenung keluar, tidak terasa air mataku mengalir tanpaku sedar. Angin pagi bertiup perlahan, membawa rasa segar namun jauh di lubuk hati, aku rindu akan suasana gawai. Bunyi gong dalam mimpiku masih berulang-ulang dalam fikiranku, dan aku tidak dapat menepis rasa ingin tahu yang mendalam. Apakah maksudnya? Adakah mimpi itu sekadar bunga tidur, atau ada sesuatu yang lebih dalam yang cuba disampaikan kepadaku?
Tiba-tiba, telefon bimbitku berbunyi. Aku menyambut panggilan itu, dan suara Mak di hujung talian menyapa.
“Anak, bila lagi nak balik kampung? Semua orang dah rindu, terutama nenek kamu. Baliklah, kita raikan bersama-sama dengan nenek,” katanya dengan suara penuh harapan.
Aku terdiam seketika. Kenangan tentang rumah gawai, tentang suasana perayaan, dan tentang bunyi gong yang berterusan dalam mimpiku, datang kembali dalam ingatanku. Seperti sesuatu yang mengikat aku dengan akar dan sejarah keluarga. Mungkin inilah saatnya untuk aku kembali, untuk mengenang semula tradisi yang telah lama terlupakan.
“Baiklah Mak. Saya akan balik. Kita raikan bersama-sama,” jawabku akhirnya, dengan rasa tekad yang baru, meskipun jauh di dalam lubuk hati, aku merasa sedih, terkenangkan mimpi di rumah gawai.
Pada hari yang ditunggu, aku akhirnya kembali ke kampung halaman. Kampung yang sudah lama kutinggalkan untuk mengejar cita-cita di kota. Setibanya di kampung, aku terus pergi ke rumah gawai yang terletak hanya beberapa meter dari rumah nenekku. Rumah gawai yang besar itu masih teguh berdiri, tetapi kini, suasana keramaian itu hanya tinggal kenangan. Aku berdiri di hadapan rumah gawai yang luas itu, mataku memandang setiap inci bangunan kayu yang masih kukuh meskipun usianya semakin tua.
Aku menarik nafas panjang, teringat kembali memori-memori indah semasa upacara Gawai terakhir yang aku hadiri. Jun 2018, satu tahun yang amat bermakna bagiku. Kebiasaannya, aku tiba lebih awal daripada dua orang saudaraku, Ik Wadell dan Richard de Rozario. Kami bertiga berkampung bersama pengamal adat, merasai suasana yang penuh dengan tradisi dan budaya. Tempat ini menjadi ruang kami mempelajari nilai kebersamaan, penghormatan terhadap alam, serta kepentingan memelihara warisan nenek moyang. Keakraban yang terjalin antara kami bertiga dan pengamal adat itu menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan. Di rumah gawai itulah kami merasa seperti keluarga besar yang saling menyokong dan menghargai satu sama lain, sambil terus mengekalkan adat yang menjadi identiti dan jati diri kami. Kami bertiga berkongsi visi yang sama, iaitu untuk merakam setiap detik dalam upacara yang penuh bersejarah itu selama empat hari tiga malam. Dengan penuh tekad, kami merakam setiap detik berharga, berharap ia dapat menjadi saksi kepada kehidupan yang pernah wujud di sini, agar suatu hari nanti generasi akan datang dapat melihat dan merasai pengalaman yang pernah kami jalani. Kami sedar, ini mungkin kali terakhir kami dapat menyaksikan upacara Gawai dalam bentuk asalnya.
Senyuman yang terpapar pada raut wajah pengamal adat seolah sayu, penuh dengan rasa redha. Mereka seolah menerima hakikat bahawa adat yang telah diwarisi sejak sekian lama kini semakin pupus, ditelan oleh arus kemodenan dan perubahan zaman. Para pengamal adat, yang sudah semakin berkurang jumlahnya, berkumpul di tengah rumah gawai, dengan pakaian adat mereka yang anggun. Lagu-lagu borih yang dinyanyikan dayung borih di atas ayun itu bukan sekadar nyanyian, tetapi juga suatu bentuk komunikasi dengan roh leluhur, memohon restu dan berkat agar hasil tanaman pada tahun itu melimpah ruah. Dalam setiap bait lirik, ada pengharapan dan rasa syukur yang mendalam, seolah-olah mereka berbicara langsung kepada tanah dan langit, memohon agar segala usaha mereka mendapat hasil yang sebaik-baiknya. Walaupun masih ada di antara mereka yang berusaha mempertahankan warisan ini, namun senyuman itu menggambarkan rasa sedih yang mendalam, menyedari bahawa tradisi yang pernah hidup subur kini hanya tinggal kenangan.
Aku juga merasakan kesedihan yang mendalam. Tradisi ini semakin dilupakan oleh generasi muda yang lebih tertarik dengan kehidupan moden. Kebanyakan mereka lebih memilih untuk merantau ke kota, mengejar impian dan peluang yang lebih besar, meninggalkan desa dan adat mereka sedikit demi sedikit. Aku terasa perbezaan itu ketika melihat wajah-wajah muda yang semakin jarang di rumah gawai, semakin sedikit yang mengerti erti perayaan Gawai. Mereka lebih memilih dunia luar, yang dipenuhi kemajuan teknologi dan kehidupan yang lebih moden, sementara rumah gawai yang pernah menjadi lambang kehidupan dan kebanggaan mereka kini hanya menjadi simbol masa lalu yang semakin pudar.
Aku duduk merenung video dan foto-foto lama yang pernah ku ambil semasa perayaan-perayaan Gawai yang lalu. Mataku terhenti pada setiap gambar yang memaparkan kegembiraan dan kehangatan suasana di rumah gawai. Lalu, pandanganku beralih semula ke arah ruangan rumah gawai yang kini sepi, dengan hati yang penuh persoalan. Apa yang akan berlaku kepada warisan ini? Bagaimana nasib tradisi yang telah turun-temurun dilalui oleh keluarga dan masyarakat ini, jika terus dilupakan?
Dulu, setiap sudut rumah ini dipenuhi dengan gelak tawa, suara nyanyian diiringi tarian dayung borih mengelilingi bawar, dan bunyi gong yang menggema, menandakan keriangan dan semangat perayaan. Namun, kini rumah gawai itu sunyi dan sepi. Tiada lagi suara riuh rendah orang ramai, tiada lagi bau masakan tradisional yang menyelerakan, dan tiada lagi gemersik bunyi langkah-langkah tarian yang membawa semangat hidup. Semua itu kini hanya tinggal kenangan, berlegar di ruang udara yang kosong.
Pandangan mataku semakin jauh menembusi sejarah dan waktu, membayangkan sebuah masa yang telah berlalu, ketika setiap sudut rumah gawai ini dihiasi dengan keriangan dan kebersamaan. Tapi kini, segala itu semakin memudar, meninggalkan kesunyian yang menuntut aku untuk bertanya—apakah yang akan terjadi jika tradisi ini terus dilupakan? Bagaimanakah masa depan warisan ini, jika tiada usaha untuk terus memelihara dan meneruskannya?
Aku menarik nafas panjang, terasa berat mengenangkan semua itu, tetapi dalam hati aku tahu, kenangan dan semangat tradisi ini tidak boleh dibiarkan lenyap begitu sahaja.
Di tempat ini, aku pernah menyaksikan pelbagai generasi berkumpul, bergembira, dan menghidupkan setiap sudut dengan gelak tawa dan semangat kekeluargaan yang sungguh erat. Tidak kurang juga pengunjung dari dalam dan luar negara yang datang menyaksikan upacara adat yang penuh dengan warna kemeriahan, tidak kurang juga yang memotretkan setiap detik mereka di rumah gawai sebagai kenangan di masa hadapan. Sekarang, segala itu hanya tinggal kenangan, terpateri dalam ingatanku yang semakin kabur.
Di sekelilingku, suasana sunyi itu makin terasa. Hanya bunyi angin yang menderu di antara pepohonan dan desiran daun buluh yang gugur, menggantikan riuh rendah suara orang ramai yang pernah menghiasi rumah gawai ini. Setiap detik yang berlalu, aku seakan-akan merasakan kehilangan yang besar, bukan hanya pada rumah gawai ini, tetapi juga pada tradisi yang semakin pudar di telan zaman.
Namun, walaupun hatiku terasa berat dan sesak, aku tahu ini bukanlah akhir. Aku masih mempunyai peluang untuk berusaha, untuk memastikan agar tradisi ini tidak hilang begitu sahaja. Mungkin tidak semua orang akan kembali ke rumah gawai ini, tetapi aku yakin, dengan sedikit usaha, kenangan dan budaya ini akan tetap hidup, meskipun dalam bentuk yang berbeza.
Aku mengusap air mata yang jatuh perlahan, kemudian bangkit dari tangga rumah gawai itu. Aku menoleh sekali lagi ke arah rumah gawai yang penuh sejarah ini, terasa seperti ada ikatan yang kuat antara diriku dengan setiap dinding, setiap tiang yang menyokongnya. Rumah gawai ini bukan hanya sebuah struktur kayu, tetapi ia adalah simbol kehidupan dan identiti masyarakat yang telah mewarisinya. Ia adalah tempat di mana cerita-cerita lama disampaikan, tempat di mana generasi bertemu dan berhubung, tempat di mana tradisi dipelihara dan dihargai.
Mungkin kini, suasananya sudah berbeza, namun aku percaya bahawa semangat itu masih ada. Aku berjanji kepada diriku, aku tidak akan membiarkan budaya ini hilang begitu sahaja. Aku akan mencari jalan, mungkin dengan menggunakan teknologi, mungkin dengan mendokumentasikan cerita-cerita ini, atau dengan mengajak orang muda kembali ke akar budaya mereka. Aku tahu, walaupun ramai yang memilih untuk bergerak maju ke dunia moden, ada ruang untuk kita menyimpan dan merayakan warisan yang telah membentuk kita.
Dengan langkah yang lebih teguh, aku meninggalkan rumah gawai itu, tetapi dengan semangat yang tidak pernah padam. Aku tahu, walau apapun yang terjadi, tradisi ini akan tetap hidup di dalam hati mereka yang masih mengingatinya. Dan aku, sebagai salah seorang yang merasai kepentingannya, akan terus berusaha untuk memastikan bahawa kisah ini tidak akan lenyap ditelan zaman.