
Meriam air digunakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan ketika bantahan terhadap Kor Briged Mobil atau 'BRIMOB', susulan kematian seorang penunggang teksi motosikal, di hadapan kediaman gabenor di Surabaya, Indonesia. - Foto AFP
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, membatalkan lawatan rasmi ke China susulan gelombang protes besar-besaran yang merebak ke beberapa bandar utama di seluruh negara.
Menurut jurucakap presiden, Prasetyo Hadi, keputusan itu dibuat supaya Prabowo dapat terus memantau secara langsung krisis keselamatan dalam negara dan mengetuai usaha penyelesaian krisis.
“Dengan penuh rasa hormat dan permohonan maaf kepada kerajaan China, Presiden Prabowo menyatakan beliau tidak dapat menghadiri jemputan tersebut,” kata Prasetyo dalam kenyataan video pada Sabtu.
Lawatan itu sepatutnya membabitkan penyertaan dalam perarakan ‘Hari Kemenangan’ di Beijing pada 3 September, sempena ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua.
Prabowo juga dijadual menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) bersama lebih 20 pemimpin dunia.
Namun, keadaan dalam negara semakin tegang selepas kematian seorang pemandu Ojek atau teksi motosikal, Affan Kurniawan, yang dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi di Jakarta.

Kes itu mencetuskan kemarahan rakyat dan protes merebak ke bandar-bandar seperti Makassar, Solo, Malang, dan Cirebon, dengan beberapa bangunan awam dibakar dan balai polis diserang.
Setakat ini, sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan terbunuh dalam rusuhan, termasuk tiga mangsa kebakaran di bangunan Parlimen wilayah di Makassar.
Pihak berkuasa turut meminta platform media sosial seperti TikTok dan Meta untuk meningkatkan kawalan kandungan, susulan dakwaan bahawa penyebaran maklumat palsu telah memburukkan keadaan.

Selain faktor domestik, Prasetyo turut menyatakan bahawa sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan berlangsung bulan depan menjadi pertimbangan tambahan dalam pembatalan lawatan itu.
Langkah Prabowo itu dilihat sebagai ujian kepimpinan terbesar sejak beliau memegang jawatan presiden hampir setahun lalu, dengan tekanan awam semakin meningkat terhadap isu ketelusan, keistimewaan wakil rakyat, dan keadilan sosial.