
TOKYO: Puluhan ribu peminat berkumpul di sebuah stadium terkenal di Tokyo hari ini bagi menyaksikan kumpulan K-pop sensasi, BTS, membuat persembahan di luar Korea Selatan buat kali pertama dalam jelajah dunia terbaharu mereka.
Kumpulan yang dianggotai tujuh orang itu yang sering dianggap sebagai kumpulan lelaki terbesar di dunia kembali membuat persembahan bersama di pentas buat kali pertama bulan lalu selepas berehat selama beberapa tahun susulan kewajipan perkhidmatan ketenteraan.
Jelajah tersebut bertepatan dengan pelancaran album studio terbaharu mereka, “ARIRANG”.
Konsert di Goyang, kira-kira 16 kilometer dari ibu negara Korea Selatan, Seoul, minggu lalu menandakan permulaan jelajah yang merangkumi 85 persembahan di 34 bandar di seluruh dunia.

“Saya telah lama menunggu saat ini dan akhirnya saat itu telah tiba,” kata Miki Satani, 50, sambil memegang tiket konsertnya.
BTS “memberi saya banyak tenaga dan menceriakan saya,” kata Satani, yang mula mengenali kumpulan itu enam tahun lalu.
“Apabila saya menghadapi pelbagai kesukaran dalam hidup, saya kembali bersemangat dengan mendengar muzik mereka. Saya merasakan mereka seperti suplemen vitamin dalam hidup saya.”
Pelancong Rusia tanpa tiket, Viktoria Diatlova, 27, menyatakan kecintaannya terhadap kumpulan itu dan berkata muzik mereka mempunyai mesej yang sangat indah.

Noa Iwaasa, 22, seorang pendandan rambut di Tokyo, berkata: “BTS ialah sebahagian daripada hidup saya kerana saya telah mendengar lagu mereka sejak zaman pelajar lagi.”
Peminat yang mengelilingi Tokyo Dome hari ini yang mampu memuatkan sehingga 55,000 penonton dan ini termasuk peminat yang tidak mempunyai tiket, namun tetap hadir untuk merasai suasana konsert tersebut.
Konsert BTS itu berlangsung selama dua hari iaitu hari ini dan esok. – AFP