Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Gelombang baharu COVID-19 landa Asia Tenggara, kes melonjak di seluruh Asia
  • KESIHATAN

Gelombang baharu COVID-19 landa Asia Tenggara, kes melonjak di seluruh Asia

Utusan Sarawak 12 hours ago

NEW DELHI: Gelombang baharu COVID-19 kini melanda beberapa bahagian di Asia Timur dan Asia Tenggara termasuk Hong Kong, Singapura, China, Filipina dan Thailand, dengan peningkatan mendadak kes yang dilaporkan.

Pegawai kesihatan di Hong Kong mengesahkan wilayah itu sedang mengalami gelombang baharu COVID-19 apabila kadar sampel pernafasan yang diuji positif melonjak daripada 1.7 peratus pada Mac kepada 11.4 peratus, lebih tinggi daripada kemuncak pada Ogos 2024. 

Kebanyakan kes serius dan kematian membabitkan golongan warga emas yang menghidap penyakit kronik.

Di Singapura, kes meningkat sebanyak 28 peratus pada awal bulan ini dengan jumlah jangkitan mingguan mencecah 14,200 kes dan kadar kemasukan harian ke hospital meningkat sekitar 30 peratus.

Kementerian Kesihatan republik itu menjelaskan peningkatan itu berpunca daripada imuniti yang semakin menurun dan bukannya kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya.

Sementara itu di China, kadar jangkitan COVID-19 juga semakin meningkat, hampir menyamai paras tertinggi yang dicatatkan ketika gelombang musim panas lalu. 

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, kadar ujian positif meningkat lebih dua kali ganda dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Thailand pula mencatat lonjakan kes selepas perayaan Songkran pada April dengan dua kluster jangkitan dikenal pasti setakat ini. Pihak berkuasa kesihatan sedang memantau rapi keadaan ketika ini.

Di Manila, Jabatan Kesihatan (DOH) Filipina sedang ‘memantau rapi’ jangkitan COVID-19 di Asia Tenggara susulan peningkatan kes yang dilaporkan di beberapa bahagian rantau itu, lapor Xinhua. 

Pakar kesihatan berkata peningkatan itu mungkin berpunca daripada tahap imuniti yang semakin merosot. 

Semakin lama seseorang tidak menerima dos vaksin atau tidak dijangkiti secara semula jadi, semakin kurang perlindungan mereka terhadap virus terutama bagi jangkitan ringan atau sederhana.

Di Singapura, ramai yang mendapatkan rawatan untuk gejala COVID-19 dilaporkan tidak menerima suntikan dos penggalak selama lebih setahun. 

Keadaan itu juga mungkin sama di negara-negara lain.

Setakat ini, tiada bukti menunjukkan varian baharu seperti LF.7 dan NB.1.8 yang berkait rapat dengan varian JN.1 lebih teruk atau lebih mudah merebak berbanding varian sebelumnya.

Negara-negara kini menggalakkan golongan berisiko tinggi terutama warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik untuk mendapatkan dos penggalak jika belum menerimanya dalam tempoh terkini.

Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai digalakkan mengamalkan kebersihan tangan, memakai pelitup muka di tempat sesak dan kekal di rumah jika tidak sihat.

Buat masa ini, tiada tanda-tanda kebimbangan besar daripada pihak berkuasa. 

Tiada sekatan baharu atau langkah kecemasan diumumkan kerana sistem kesihatan masih dapat menampung situasi semasa.

COVID-19 belum lenyap sepenuhnya, tetapi kini menjadi virus endemik seperti selesema yang menyebabkan gelombang dari semasa ke semasa. 

Peningkatan kes yang berlaku sekarang di Asia menjadi peringatan untuk semua terus berwaspada, tetapi tiada keperluan untuk bertindak panik. 

Dengan vaksin yang telah dikemas kini, langkah berjaga-jaga munasabah dan sistem kesihatan yang bersedia, gelombang ini masih dapat dikawal dengan baik. – Bernama

Continue Reading

Previous: Heritage & Hope tampil resipi warisan lebih sihat, tangani mitos pemakanan pesakit kanser

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.