
NILAI: Perjalanan ini tidak pernah mudah. Ada darah, peluh, air mata dan doa yang tidak pernah putus, ada saat hampir rebah, tetapi semangat tidak pernah padam.
Itulah coretan penuh makna petinju profesional negara, Daeloniel Mcdelon atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy, selepas mencipta sejarah manis dengan merangkul kejuaraan WBC Asia Continental Super Bantamweight, baru-baru ini.
Kejayaan anak jati Sri Aman berusia 26 tahun itu hadir selepas menundukkan wakil Thailand, Natthawat Aiemsuebnum, 22, dalam aksi penuh dramatik Twins Championship 102 di Stadium N9 Arena, Nilai.
Namun di sebalik sorakan dan kegemilangan di gelanggang, Kilat Boy tidak pernah melupakan asas kejayaannya, keluarga, sahabat, pasukan, penaja serta ribuan penyokong yang sentiasa bersama dalam jatuh bangun perjalanan kariernya.
“Kemenangan ini takkan wujud tanpa anda semua. Gelaran ini bukan hanya milik saya, tetapi milik kita semua,” tulisnya di Facebook.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada isterinya, keluarga, rakan-rakan, penaja, KB Management Team, serta penyokong yang hadir di stadium mahupun menonton secara siaran langsung.
Bagi Kilat Boy, sabuk kejuaraan yang kini menjadi miliknya bukan sekadar simbol kejayaan peribadi, tetapi hadiah buat seluruh rakyat Malaysia iaitu bertepatan dengan semangat Hari Kebangsaan 2025.
“Selamat Hari Kebangsaan 2025. Gelaran ini saya hadiahkan untuk tanah air tercinta,” katanya penuh bangga.
Dari kampung hingga ke pentas antarabangsa, kisah Kilat Boy menjadi bukti bahawa dengan tekad, doa dan sokongan yang padu, tiada yang mustahil untuk digenggam.
Oleh Adi Safarman