Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Gelaran Datuk iktiraf jasa Nordin Ahmad selepas 55 tahun pemergiannya
  • HIBURAN

Gelaran Datuk iktiraf jasa Nordin Ahmad selepas 55 tahun pemergiannya

Utusan Sarawak 9 hours ago
ANAK saudara Allahyarham Datuk Nordin Ahmad, Mohd Sabri Mohd Sidik, 60, menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) membawa gelaran “Datuk” yang dianugerahkan kepada seniman itu sempena Sambutan Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib hari ini. Mohd Sabri berkata penganugerahan darjah berkenaan selepas 55 tahun pemergiannya disifatkan sebagai pengiktirafan yang amat wajar terhadap jasa dan sumbangan besar tokoh seni kelahiran Pulau Pinang itu kepada industri perfileman negara. Nordin merupakan pelakon filem terkenal yang juga Pengarah dan Penulis Skrip Cathay-Keris Film Productions. Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Pengurniaan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) secara anumerta kepada bintang filem legenda Allahyarham Datuk Nordin Ahmad, 55 tahun selepas pemergiannya disifatkan sebagai pengiktirafan yang wajar terhadap jasa dan sumbangan besar tokoh seni kelahiran Pulau Pinang itu kepada industri perfileman negara.

Anak saudara Allahyarham, Mohd Sabri Mohd Sidik, 60, berkata penganugerahan itu bukan sekadar menghargai sumbangan Allahyarham sebagai pelakon, malah mengiktiraf legasi beliau sebagai pengarah dan penulis skrip yang banyak mencorakkan perkembangan filem Melayu, serta mengharumkan nama Pulau Pinang di persada seni tanah air.

Beliau berkata Allahyarham yang berasal dari Kampung Kota, Permatang Pasir, Permatang Pauh adalah antara ikon terpenting dalam sejarah kegemilangan perfileman Melayu, dan karya-karyanya terus menjadi rujukan serta inspirasi kepada generasi pelakon dan pengkaji sehingga kini.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengalu-alukan keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menganugerahkan DSPN secara anumerta kepada Allahyarham.

“Sumbangan beliau bukan sahaja mencorakkan perkembangan industri filem tanah air, malah terus menjadi rujukan dan inspirasi kepada generasi pelakon serta pengkaji hingga hari ini,” katanya kepada pemberita

Beliau mewakili keluarga menerima darjah kebesaran itu pada Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena Hari Ulang Tahun ke-85 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.

Mohd Sabri yang juga petugas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkata Allahyarham terus dikenang sebagai pelakon, pengarah dan penulis skrip, yang banyak menyumbang kepada perkembangan industri filem tempatan, selain berjaya menghidupkan watak-watak pahlawan Melayu yang menjadi antara identiti lakonannya.

Penganugerahan DSPN yang membawa gelaran ‘Datuk’ itu adalah yang pertama diterima Allahyarham, manakala sebelum ini nama tokoh seni itu turut diabadikan di Layar Bintang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai antara bintang legenda perfileman Melayu.

Beliau berkata keluarga bercadang mempamerkan pingat DSPN itu di Galeri Karyawan Nordin Ahmad, yang terletak di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir bagi membolehkan peminat, pengkaji dan orang ramai melihat sendiri pengiktirafan yang diberikan kepada tokoh seni berkenaan.

Allahyarham Nordin Ahmad meninggal dunia pada 15 Jun 1971 pada usia 41 tahun di Hospital Besar Singapura akibat demam kuning, dan sepanjang karier seninya beliau membintangi pelbagai filem malar segar yang terus menjadi rujukan pencinta filem Melayu, antaranya Hang Tuah, Anakku Sazali, Sri Mersing, Semerah Padi, Air Mata Duyung, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Gurindam Jiwa dan Lanchang Kuning.

 Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini serta pada 13, 14 dan 15 Julai itu, menyaksikan 101 individu menerima darjah kebesaran, manakala 1,120 lagi dianugerahkan bintang dan pingat kehormatan.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Pengarah Global Vygon Datuk K. Thanapathy yang dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) berkata beliau amat berbesar hati dan terharu menerima anugerah berkenaan.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan beliau dalam industri perubatan di Malaysia mahupun di seluruh rantau ini. 

“Saya amat berbesar hati dan terharu dianugerahkan gelaran Datuk, dan saya menerimanya dengan penuh rendah hati serta rasa tanggungjawab. 

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan atas pengiktirafan ini. Terima kasih juga kepada keluarga, rakan sekerja dan semua yang telah menyokong perjalanan saya dalam industri perubatan dan khidmat masyarakat,” katanya. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: The Keris: Sebulan selami sejarah, bahasa klasik bantu Syazlie Syazz ‘hidupkan’ Hang Tuah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.