APABILA James Brooke menjadi Raja Sarawak, beliau melantik semula pembesar Melayu Sarawak untuk membantu pentadbirannya. Pembesar Melayu ini terdiri daripada keturunan perabangan yang diberi kepercayaan dalam sistem pentadbiran Brooke untuk memperkasakan pentadbiran beliau.
Namun demikian, peranan pembesar Melayu yang biasa diberi gelaran Datu ini mula berubah. Mereka tidak lagi menjadi pembesar yang menguasai sungai Sarawak. Mereka hanya diberi elaun bulanan untuk menganti cukai yang mereka kutip sebagai pendapatan sebelum kedatangan Brooke.
Pada peringkat awal Raja James Brooke amat memerlukan sokongan Datu-Datu ini untuk mengimbang pengaruh dan kekuatan pembesar Brunei terutama Pengiran Mahkota. Oleh itu Datu-Datu Melayu ini dikekalkan dalam pentadbiran dengan Raja James Brooke menjadi ketua mereka. Seterusnya Datu-Datu ini kekal dalam pentadbiran untuk memperkukuhkan jentera pentadbiran Brooke.
Keturunan
Salah seorang pemimpin yang disegani oleh Raja James Brooke apabila beliau naik sebagai Raja Sarawak ialah Datu Patinggi Ali. Datu Patinggi Ali merupakan keturunan daripada pemimpin awal Sarawak yang berpusat di Santubong iaitu Datu Merpati.
Beliau juga merupakan pemimpin yang berani dan tegas dalam usaha melawan usaha Brunei mengenepikan pemimpin tempatan untuk memerintah Sarawak. Atas sebab itulah, maka berlaku penentangan oleh Datu Patinggi Ali terhadap Pengiran Mahkota.
Kekuatan Datu Patinggi Ali melawan Pengiran Mahkota dan seterusnya Pengiran Muda Hashim ditunjukkan dengan sokongan sebahagian besar penduduk Sarawak daripada pelbagai kaum.
Apabila tamatnya penentangan ini, maka, Datu Patinggi Ali diambil oleh Raja James Brooke sebagai pembantu beliau.
Datu Patinggi Ali juga berperanan dalam membantu Raja James Brooke melawan penduduk di Saribas dan Skrang yang dianggap melakukan tindakan ‘pelanunan’. Hayat Datu Patinggi Ali ini tidak panjang bersama Raja James Brooke apabila Datu Patinggi Ali terbunuh dalam satu serang hendap di Putusan.
Namun demikian pemergian Datu Patinggi Ali ini tidak menamatkan legasinya untuk meneruskan peranan dalam pentadbiran Brooke. Ini kerana anak-anak Datu Patinggi Ali menjadi orang penting dalam kerajaan.
Pemecatan
Antaranya ialah menantu beliau iaitu Datu Patinggi Abdul Ghapur yang dinaikkan sebagai pemimpin utama Melayu mengantikan Datu Patinggi Ali. Berbeza dengan Datu Patinggi Ali, pelantikan Datu Patinggi Abdul Ghapur menimbul curiga dalam kalangan kakitangan kerajaan terhadap beliau. Ini kerana Datu Patinggi Abdul Ghapur dikatakan bersama-sama dengan Sharif Masahor untuk melawan pemerintah Brooke.
Akibatnya, beliau telah dipecat daripada memegang gelaran Datu Patinggi dan diminta pergi ke Makkah. Abdul Ghapur kemudiannya ke Makkah dan kembali semula ke Sarawak. Beliau kemudiannya diberi pengampunan dan diberi gelaran Datu Haji.
Datu Haji Abdul Ghapur ini masih lagi dicurigai oleh anak saudara Raja James Brooke iaitu Charles Brooke. Beliau didakwa terlibat dengan usaha menghapuskan orang Barat di Sarawak bersama Sharif Masahor. Akhirnya pada 1854 beliau dibuang negeri ke Batavia dan seterusnya ke Melaka.
Kepercayaan
Pada masa sama, Abdul Ghapur diberi gelaran Datu Patinggi, salah seorang anak Datu Patinggi Ali pula iaitu Muhammad Lana diberi gelaran Datu Bandar. Muhammad Lana mengambil gelaran ini dari Datu Bandar Rancha yang meninggal dunia. Kedudukan gelaran Datu Bandar ini berkedudukan kedua selepas Datu Patinggi.
Apabila Datu Haji Abdul Ghapur dibuang negeri, Raja James Brooke masih menaruh kepercayaan kepada keturunan Datu Patinggi Ali. Beliau tidak mencurigai Datu Bandar Muhammad Lana sebagai pembantu beliau.
Apabila Datu Bandar Muhammad Lana meninggal dunia, gelaran Datu Bandar diserahkan kepada adik beliau iaitu Haji Bua Hasan. Datu Bandar Bua Hasan banyak membantu pentadbiran Brooke dan cuba mempertahankan Kuching daripada kebangkitan orang Cina pada 1857. Hal ini membawa kepercayaan kerajaan Brooke untuk mengekalkan kedudukan keluarga Datu Bandar Bua Hasan untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Anak beliau iaitu Abang Kassim telah diberi gelaran Datu Muda. Pada 1905, Abang Kassim diangkat untuk menjadi Datu Bandar menggantikan ayahnya yang meninggal dunia. Seorang anak Datu Bandar Bua Hassan iaitu Muhammad Ali pula diberi gelaran Datu Hakim.
Warisan
Selain itu, terdapat beberapa lagi nama pembesar tempatan Kuching yang datang daripada keturunan keluarga Datu Patinggi Ali. Beberapa orang anak dan saudara beliau yang lain seperti Abdul Karim dan Muhammad Taim memegang gelaran Datu Imam.
Apabila Muhammad Taim meninggal dunia pada 1898, beliau digantikan oleh anaknya iaitu Mohamed Amin. Selain jurai keturunan Datu Patinggi Ali yang banyak diberi kepercayaan dalam kerajaan Brooke, ada lagi satu jurai keturunan yang juga mendapat tempat dalam pentadbiran Brooke.
Jurai keturunan yang dimaksudkan ini datang dari keturunan Datu Temenggung Mersal. Anak kepada Datu Temenggung Mersal iaitu Abang Fata dipuji oleh Raja James Brooke sebagai seorang yang banyak membantu kerajaan Brooke. Adik beliau iaitu Muhammad Hassan pula menganti ayahnya sebagai Datu Temenggung. Beliau juga dipuji sebagai seorang kakitangan kerajaan yang mempunyai rekod cemerlang dalam kerajaan Brooke.
Penambahan Gelaran
Berbalik kepada gelaran Datu Bandar, apabila Datu Bandar Abang Kassim meninggal dunia di Makkah (1921), gelaran itu jatuh kepada anak beliau iaitu Abang Abdillah. Abang Abdillah sebelum itu diberi gelaran Datu Muda dan menjalankan pelbagai tugas dalam kerajaan.
Perkhidmatan Abang Abdillah sebagai Datu Bandar diiktiraf oleh Raja Vyner Brooke apabila gelaran Datu Syahbandar diberi kepada beliau. Seterusnya gelaran Datu Patinggi yang dibekukan selepas pemecatan Abdul Ghapur telah dikembalikan dan diberi kepada Abang Abdillah. Kedudukan ini memberi Abang Abdillah sebagai pemimpin utama dan tertinggi dalam masyarakat Melayu Kuching.
Menjelang abad ke-20, kerajaan Brooke juga mewujudkan pelbagai lagi gelaran untuk dianugerahkan kepada pemimpin Melayu Sarawak. Beberapa kakitangan kerajaan berbangsa Melayu telah diberi gelaran ini seperti Abang Sulaiman bin Abang Taha, Mohd Zain, Abang Mustapha dan Haji Hashim dengan gelaran Datu Amar, Datu Menteri, Datu Pahlawan dan Datu Bentara.
Nama-nama Datu Kuching yang saya papar dalam wacana hanya sebahagian sahaja Datu-Datu Kuching yang ada. Ramai lagi Datu-Datu Kuching yang mempunyai peranan tersendiri dalam era pemerinatahan Brooke.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.