Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Gelanggang tinju baharu bakal dibina di Saratok, hasrat lahirkan petinju bertaraf antarabangsa
  • Tengah
  • WILAYAH

Gelanggang tinju baharu bakal dibina di Saratok, hasrat lahirkan petinju bertaraf antarabangsa

Utusan Sarawak 4 hours ago
MOHAMAD Duri merasmikan Kejohanan Tinju Bakat, Junior dan Remaja Jemputan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dataran Utama Sri Kalaka Saratok, malam tadi. Foto: ADUN Kalaka

SARATOK: Daerah Saratok bakal melakar sejarah baharu dalam pembangunan sukan apabila sebuah gelanggang tinju khusus akan dibina menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 yang telah diluluskan pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan tinju di daerah itu, sekali gus memenuhi aspirasi golongan belia yang meminati sukan mempertahankan diri berkenaan.

Menurut beliau, tapak pembinaan gelanggang tersebut telah dikenal pasti iaitu bersebelahan gelanggang bola tampar berhampiran Padang Bola Sepak Majlis Daerah Saratok bagi mewujudkan sebuah hab sukan komuniti yang lebih tersusun dan bersepadu.

Katanya, kemudahan baharu itu akan menyediakan ruang latihan yang lebih kondusif dan selamat kepada atlet tinju tempatan yang sebelum ini berdepan kekurangan fasiliti sempurna untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi.

“Kerajaan negeri komited memperkasakan infrastruktur sukan di kawasan luar bandar bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Tinju Bakat, Junior dan Remaja Jemputan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dataran Utama Sri Kalaka Saratok, malam tadi.

MOHAMAD Duri ketika hadir pada Kejohanan Tinju Bakat, Junior dan Remaja Jemputan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dataran Utama Sri Kalaka Saratok, malam tadi. Foto: ADUN Kalaka

Mohamad Duri berkata, sukan tinju bukan sekadar pertandingan fizikal, malah melambangkan disiplin, ketahanan mental, keberanian dan semangat juang tinggi yang mampu membentuk jati diri golongan muda.

Tambah beliau, penglibatan aktif belia dalam sukan dapat membantu menjauhkan mereka daripada gejala tidak sihat selain memupuk semangat perpaduan tanpa mengira kaum dan agama.

Mohamad Duri turut mengingatkan para peserta supaya sentiasa menjunjung semangat kesukanan serta menghormati lawan sepanjang pertandingan berlangsung, sambil merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut demi melahirkan lebih ramai atlet berbakat untuk negeri dan negara.

Kejohanan berprestij yang berlangsung selama enam hari bermula 4 hingga 9 Mei itu menghimpunkan petinju bakat muda dari seluruh Sarawak.

Ia melibatkan penyertaan daripada empat kelab utama iaitu JHBC, Kelab Tinju Panglima Seman, Kelab Tinju Tidal Bore dan Kelab Tinju UDAK.

Turut hadir ADUN Krian Friday Belik, Pegawai Daerah Saratok Muhammad Dino Amid, Presiden Joseph Harry Boxing Club (JHBC),Joseph Harry serta legenda tinju negara Sapok Biki.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Projek Jalan Utama Kedua Roban dijangka siap Mac 2027
Next: Penjaja ingkar di Tamu Simanggang disita Majlis Daerah Sri Aman

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.