
SELANGAU: Usaha memperkasakan pembangunan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin terus dipergiatkan apabila projek pembinaan gelanggang futsal Rumah Panjang Rumah Utul, Dijih Maga telah siap sepenuhnya.
Projek di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu telah bermula pada 30 November 2025 dan siap pada 1 Mac lalu, sekali gus menyediakan kemudahan riadah yang lebih selesa dan tersusun khususnya kepada golongan belia di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, pembinaan gelanggang futsal tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada belia untuk beriadah, malah berperanan sebagai pusat aktiviti komuniti yang mampu mengeratkan hubungan sosial serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan penduduk setempat.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen berterusan dalam memastikan golongan belia luar bandar tidak terpinggir daripada arus pembangunan, khususnya dalam aspek penyediaan kemudahan riadah yang sihat dan bermanfaat.
“Diharapkan kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia sebagai platform untuk mengamalkan gaya hidup sihat, mengeratkan perpaduan serta menjauhi gejala tidak sihat,” katanya.
Tambah beliau, usaha berterusan akan terus dilaksanakan bagi melahirkan generasi muda yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing di kawasan luar bandar.
Turut hadir pada majlis penyerahan projek siap itu, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu, Rashidah selaku agensi pelaksana, pihak kontraktor projek serta Kaunselor Ajan Dau yang mewakili Pusat Khidmat DUN Tamin.
Oleh Tarani Lanting