
SARATOK: Gelanggang Futsal Lakis di sini bakal berwajah baharu menerusi projek naik taraf yang dilaksanakan menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun ini bagi memastikan kemudahan tersebut lebih selamat dan selesa digunakan oleh masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, gelanggang futsal itu sebelum ini mengalami pelbagai kerosakan melibatkan lantai dan pagar yang menjejaskan tahap keselamatan pengguna.

Menurut beliau, keadaan gelanggang yang semakin uzur memerlukan tindakan segera memandangkan kemudahan tersebut merupakan antara gelanggang futsal yang paling kerap digunakan di kawasan Saratok.
“Apabila siap kerja-kerja naik taraf kelak, gelanggang ini akan tampil dengan wajah baharu serta lebih selamat untuk digunakan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan terhadap pelaksanaan projek naik taraf Gelanggang Futsal Lakis dekat sini semalam.

Mohamad Duri menjelaskan bahawa gelanggang tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan golongan belia, malah sering digunakan oleh pihak sekolah untuk menganjurkan aktiviti sukan dan riadah.
Sehubungan itu, beliau mengambil inisiatif menyalurkan peruntukan RTP bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf demi memastikan kemudahan awam tersebut terus dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Katanya, penyediaan kemudahan sukan yang berkualiti merupakan antara usaha penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta membina hubungan sosial yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual supaya pengguna dapat kembali menikmati kemudahan yang lebih baik dalam masa terdekat.
“Saya berharap gelanggang futsal yang siap dinaik taraf ini kelak akan digunakan dengan selamat dan kita bersama-sama menjaga gelanggang tersebut agar ia sentiasa berada dalam keadaan baik serta selesa untuk digunakan,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan kemudahan awam yang telah dinaik taraf dapat dipelihara dengan baik demi manfaat berterusan kepada generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman