
BARIO: Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Gala, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat, termasuk agensi pelaksana, pihak kontraktor, Pejabat Daerah Kecil Bario serta seluruh warga komuniti Bario, atas kejayaan merealisasikan pembinaan Gelanggang Futsal Bario.
Semasa merasmikan gelanggang futsal di sini semalam, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan padu sepanjang proses pembinaan gelanggang tersebut.
Menerusi perkongsian dalam aplikasi WhatsApp, Gerawat berkata beliau, selaku wakil rakyat kawasan Mulu, berbesar hati kerana dapat menyalurkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membangunkan prasarana di Bario.

Katanya, projek seperti ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Sarawak melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi memastikan pembangunan di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan, termasuk dalam aspek sukan dan kesejahteraan sosial.
Menurut beliau, padang futsal ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk beriadah, malah turut menjadi platform membina semangat kesukanan, memperkukuhkan perpaduan komuniti, serta menyediakan saluran positif bagi anak-anak muda mengisi masa lapang secara sihat.
Beliau menggesa agar padang itu dijaga dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh seluruh penduduk Bario khuusnya golongan belia.
Tambah Gerawat gelanggang berkenaan dapat dijadikan tempat memupuk bakat, mempereratkan hubungan siratulrahim dan membina semangat setia kawan.
Oleh Jiku Juguong