
BINTULU: Kemudahan sukan yang dinaik taraf di Kampung Assyakirin Fasa 1 menjadi simbol perpaduan dan kerjasama komuniti pelbagai kaum di kawasan tersebut.
Projek naik taraf gelanggang bola keranjang itu dilaksanakan di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Tanjong Batu, sekali gus mengubah landskap riadah penduduk setempat.
Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1, Pengiran Hamdan Pengiran Kerta berkata, kemudahan baharu itu membuka ruang lebih luas untuk aktiviti sihat dan memperkukuh hubungan sesama penduduk.
“Gelanggang ini bukan sekadar tempat bersukan tetapi juga ruang pertemuan dan perpaduan masyarakat,” katanya selepas majlis penyerahan projek berkenaan hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming atas komitmen membangunkan kemudahan rakyat.
Sebelum ini, katanya, aktiviti sukan agak terbatas, namun kini gelanggang yang dilengkapi sistem pencahayaan dan persekitaran terurus telah menjadi lokasi tumpuan terutama pada waktu petang dan hujung minggu.
Ujar beliau, projek itu mencerminkan bagaimana inisiatif pembangunan fizikal mampu memberi kesan sosial yang besar kepada masyarakat.
Oleh Carolyne Utih