
MAKKAH: Jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M diingatkan agar sentiasa memakai gelang pengenalan diri sepanjang berada di Tanah Suci, bagi menjamin keselamatan serta memudahkan urusan bantuan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Pengurus Khidmat Pelanggan Lembaga Tabung Haji (TH) Zaini Rashid berkata langkah itu terbukti berkesan, apabila beberapa insiden membabitkan jemaah yang terpisah daripada kumpulan berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat, hasil tindakan pantas petugas TH yang beroperasi 24 jam.
“Dalam satu kejadian, seorang jemaah wanita berusia 83 tahun terpisah dengan keluarganya di pintu 13 Masjid Nabawi, Madinah, tapi berjaya ditemukan semula selepas seorang individu tempatan menghubungi nombor pusat kawalan TH yang tertera pada gelang dipakai wanita itu.
“Walaupun pusat kawalan berada di Makkah, maklumat segera disampaikan kepada pasukan TH di Madinah dan dalam tempoh kurang 40 minit, makcik tersebut berjaya ditemukan dan disatukan semula dengan keluarga,” katanya ketika ditemui media di sini, baru-baru ini.
Zaini berkata dalam insiden berasingan, seorang jemaah wanita berusia 53 tahun yang pengsan di kawasan pintu 339, turut dibantu selepas rakan-rakannya menghubungi nombor pada gelang pengenalan diri yang dipakainya.
“Meskipun nombor itu disambungkan ke pusat kawalan di Makkah, pasukan kami segera berhubung dengan petugas di Madinah. Alhamdulillah, bantuan segera diberikan dan isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata memakai gelang pengenalan diri bukan sahaja sebagai alat dokumentasi, tetapi sebagai kaedah pantas mengenal pasti identiti serta lokasi jemaah yang memerlukan bantuan segera.
Dalam pada itu, Zaini berkata TH turut menyediakan kemudahan pinjaman kerusi roda secara percuma kepada jemaah haji Malaysia yang memerlukan, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kebajikan dan keselesaan jemaah sentiasa terjaga.
“Kerusi roda ini diberi secara percuma dan boleh digunakan sepanjang tempoh ibadah seperti tawaf dan saie dan perlu dipulangkan semula selepas urusan ibadah selesai.
“Setakat ini, tujuh unit disediakan khusus untuk kegunaan jemaah yang benar-benar memerlukan, dengan keutamaan diberikan kepada kes klinik dan rombongan perubatan,” katanya.
Zaini berkata TH akan terus memperkasakan pengurusan aduan dan perkhidmatan pelanggan menerusi penggunaan Sistem Maklumat Bersepadu, yang berfungsi sebagai platform utama bagi merekod dan menyalurkan semua maklum balas daripada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
“Setiap aduan atau permintaan yang diterima akan direkodkan dalam sistem ini untuk rujukan dan tindakan lanjut. Setakat ini, kami berjaya mencapai 100 peratus kadar penyelesaian dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA),” katanya.
-Bernama