
KOTA SAMARAHAN: Gejala seksual songsang dan budaya LGBTQ kini dianggap sebagai ancaman serius kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda termasuk mahasiswa.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi, fenomena itu bukan sekadar isu sosial, tetapi ancaman terhadap fitrah kejadian manusia serta nilai-nilai Islam yang menjadi asas keharmonian masyarakat.
“Apabila fitrah itu diselewengkan, maka runtuhlah struktur keluarga, musnahlah nilai kemanusiaan, dan hilang keseimbangan sosial dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah bagi 2025 anjuran Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIS dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di Unimas, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang Syariah perlu menjadi benteng akidah dan akhlak, bukan sekadar alat menghukum selepas kesalahan dilakukan.
“Syariah mesti ditegakkan dengan kasih sayang, bukan kekerasan tetapi dengan pendidikan, bukan sekadar hukuman.
“Pelaksanaan Syariah yang sebenar membawa roh rahmah dan keinsafan, mendidik sebelum menghukum serta memberi ruang untuk taubat sebelum dikenakan tindakan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa penguatkuasaan Syariah perlu difahami sebagai tanggungjawab mendidik umat, bukan menakut-nakutkan mereka.
“Syariah bukan beban atau ancaman, tetapi pelindung dan cahaya petunjuk.
“Saya menggesa golongan muda menjadi pelindung nilai agama dan pembela kebenaran yang berpaksikan iman serta ilmu.
“Pelaksanaan Syariah adalah amanah seluruh umat Islam untuk mempertahankan maruah agama, menjaga nilai moral dan menegakkan keadilan yang menjadi rahmat bagi sekalian alam,” katanya sebelum menangguhkan seminar tersebut.
Oleh Masrin Affirah