SEBAGAI mukadimah, kolum ini adalah medan bagi mengupas acara-acara sukan bukan sahaja di Bumi Kenyalang, namun merangkumi kejohanan dan pertandingan diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sebelum diteruskan adalah elok sekiranya mengetahui nama kolum ‘Gasak Pok’ ini merupakan bahasa Sarawak yang juga bermaksud ‘hentam’ dalam Bahasa Malaysia dan ‘Pok’ adalah panggilan nama seseorang di kalangan pribumi di Sarawak.
Dalam pertuturan bahasa Iban, ‘gasak’ bermakna ‘insah’ manakala bagi masyarakat Bidayuh tetap menggunakan perkataan gasak. Sementara dialek Melanau pula menyebut ‘tatah’. Itu pun bahasa ini mengikut mukim masyarakat Iban, Bidayuh dan Melanau di kawasan masing-masing.
Bagi bahasa lain, mungkin lain kali kita boleh bersama-sama boleh belajar nanti.
Apa pun, buat permulaan sekalung tahniah kepada dua pasukan bola sepak dari Bumi Kenyalang iaitu Sarawak United FC dan Kuching City FC yang kini bersaing dalam kempen Liga Premier 2021.
Meski beraksi dalam saingan liga kedua di negara ini, namun Sarawak United FC dan Kuching City FC telah mula melaungkan amaran awal kepada pasukan lain dengan masing-masing mencipta kemenangan awal sebaik sepak mula disingkap minggu lalu.
Yang pasti, Sarawak United FC menarik nafas lega apabila berjaya ‘menikmati’ kemenangan pertama dan kedua selepas menewaskan Kelantan United FC 2-0 dan membenam cabaran Perak FC II 3-0.
Dengan kejayaan mengutip mata penuh dalam kedua-dua aksi itu, anak-anak buah E.Evalarasan kini menerajui carta liga dengan enam mata, meledakkan lima jaringan dan tanpa melepaskan sebarang gol.
Justeru, jika dinilai dengan perlawanan yang telah ditempuhi itu ternyata kehadiran Sarawak United FC pada kempen Liga Premier musim ini tampak berbisa apatah lagi dibarisi ramai pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya di samping bekas pemain ‘regular’ pasukan lain dalam Liga Super tahun lalu.
Sekadar menyebut beberapa nama seperti Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo, Mohd Sharbinee Allawee, K. Reuben, S. Veenod, Sandro da Silva, Christie Jayaseelan, Uche Agba dan S. Chanturu, sesungguhnya misi membawa Sarawak United ke Liga Super 2022 kali ini dilihat amat serius.
Malah, kehadiran barisan pemain tempatan termasuk Tommy Mawat, Ashri Chuchu, Nurshamie Iszuan yang sebelum ini berhijrah ke pasukan lain dalam beberapa musim lalu juga dilihat mampu menambahkan ‘sengat’ skuad Elavarsan.
Menjadikan Stadium Hang Jebat, Melaka sebagai gelanggang musim ini ekoran bagi memudahkan pergerakan pasukan, ternyata ia bukan halangan buat Sarawak United beraksi dengan baik apatah lagi tanpa sokongan penyokong.
Namun, selepas mengharungi dua perlawanan dengan meraih enam mata penuh, Evalarasan tetap merendahkan diri apabila mahu anak-anak buahnya terus menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya nanti.
“Perjalanan masih jauh dan setakat ini kita baharu sahaja mengharungi dua perlawanan, jadi kita kena lebih konsisten dan melihat perlawanan seterusnya serta memahami kondisi para pemain.
“Apa yang saya lihat dalam dua perlawanan ini, koordinasi antara pasukan semakin baik dan berharap ia kekal konsisten untuk perlawanan mendatang,” katanya selepas aksi menentang Perak FC II tempoh hari.
Pada masa sama, skuad warga kota Kuching City FC turut menampilkan aksi bertenaga sebaik mencipta keputusan seri 1-1 ketika menentang Terengganu FC II Rabu lalu tetapi terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 kepada JDT II malam semalam.
Penolong Ketua Jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin menyatakan bahawa beliau dan ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti, berasa bangga kerana dapat membawa sebuah pasukan yang rata–ratanya diwakili pemain kelahiran Sarawak.
“Kami semahu-mahunya menurunkan majoriti pemain anak Sarawak, jadi kami bangga untuk mengembalikan kembali pemain Sarawak. Begitu juga dengan Irfan yang sememangnya mahu mengembalikan bola sepak Sarawak itu kepada asal, “ ujarnya.
Justeru, dengan ‘kehangatan’ kemenangan demi kemenangan yang bakal diraih oleh kedua-dua pasukan dari Bumi Kenyalang ini nanti setidak-tidaknya mampu mengembalikan zaman ‘Ngap Sayot’ dan ‘Bujang Senang yang ketika itu berupaya ‘menggegar’ bola sepak Malaysia.
Dan yang pasti, esok adalah pertemuan yang amat dinanti-nantikan seluruh penyokong di Bumi Kenyalang apabila Kuching City FC bertandang di Stadium Hang Jebat, Melaka untuk melayan ‘skuad abang’ Sarawak United FC.