
BANGKOK: Bangkok mengalami gegaran lemah pagi ini susulan gempa bumi yang berlaku di pesisir pantai selatan Myanmar.
Bahagian Pemantauan Gempa Bumi Jabatan Meteorologi Thailand melaporkan gempa bumi berukuran 5.4 skala Richter itu melanda kawasan pesisir pantai selatan Myanmar pada 9.58 pagi Khamis.
Bahagian itu memaklumkan terdapat laporan gegaran kecil yang dapat dirasai di beberapa bangunan tinggi di Bangkok.
Dalam satu kenyataan, jabatan berkenaan berkata gempa bumi itu tidak memberi kesan kepada Thailand dan orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di laman sesawang www.earthquake.tmd.go.th.
Sementara itu, media tempatan Thailand, The Nation melaporkan tiada kerosakan dilaporkan di Thailand walaupun gegaran dirasai di daerah Din Daeng, Watthana, Ratchathewi, Mueang dan Bang Rak di Bangkok.
Laporan itu menyebut gegaran yang berlaku cukup kuat untuk mendorong penghuni bangunan Kementerian Buruh di daerah Din Daeng keluar menyelamatkan diri.
Gegaran lemah yang berlarutan kira-kira 10 saat juga dilaporkan di Khlong Toei Nuea, daerah Watthana, manakala penduduk di kawasan lain mengadu bangunan bergegar seketika.
Pada Mei lalu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Thailand telah menguji sistem amaran bencana melalui telefon mudah alih sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Terdahulu pada 28 Mac, gempa bumi berukuran 7.7 melanda Wilayah Sagaing, Myanmar, mencetuskan gegaran berukuran 6.4 di beberapa bahagian Thailand.
Gegaran itu menyebabkan runtuhan di tapak pembinaan bangunan baharu Pejabat Audit Negara di daerah Chatuchak, Bangkok, yang menimbus kira-kira 90 pekerja binaan.– Bernama