
BUTTERWORTH: Penduduk di beberapa kawasan di Pulau Pinang hari ini turut merasai gegaran susulan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud di utara-barat laut Sagaing, Myanmar.
Gegaran dirasai pekerja dan pelajar di bangunan tinggi termasuk di Komtar dan George Town serta penduduk yang tinggal di kawasan apartmen sekitar Butterworth di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima dua panggilan terus ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dan BBP Lebuh Pantai di George Town berhubung fenomena itu.
Beliau berkata ekoran itu, pasukan bomba dan jentera membuat pemantauan di sebuah kolej swasta di kawasan Lebuh Pantai dan bangunan residensi di Butterworth.
“Pihak bomba menerima panggilan itu sekitar 2.44 dan 3 petang ini, setakat ini semua dalam keadaan selamat dan tiada insiden tidak diingini berlaku.
“Hasil daripada pemantauan yang dilakukan oleh komander operasi didapati tidak melibatkan mangsa atau kerosakan pada bangunan. Hanya berlaku gegaran kecil pada bangunan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini
Sementara itu, seorang penduduk di Butterworth Ling Cheah, 32, berkata beliau sedang membasuh pinggan sebelum merasai gegaran kuat lebih seminit di pangsapurinya sebelum menarik kakaknya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
“Waktu itu ingat pening kepala tapi makin rasa gegaran dan terus heret kakak saya ajak turun kerana bimbang keselamatan kami, ini kali pertama saya rasa gegaran tersebut, memang takut dan terkejut sangat,” katanya ketika dihubungi.
Seorang pekerja di Komtar, Nur Aishah Ridzuan, 24, berkata beliau dan rakan-rakan sedang membuat kerja sebelum merasai gegaran tersebut dan mereka mengambil keputusan untuk keluar dari bangunan itu kerana bimbangkan keselamatan diri.
“Kami terus turun, sebab risau apa-apa jadi dan saya difahamkan ada yang menghubungi pihak bomba. Alhamdulillah semuanya selamat,” katanya yang turut berasa pening akibat gegaran itu.
Gegaran itu turut dirasai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai.
“Waktu gegaran itu sekitar 2.30 petang saya ada di pejabat di bangunan Komtar dan berasa sedikit pening, ingat tekanan darah tinggi kerana terlalu sibuk sekarang ini, tapi lepas itu baru terima maklumat ada gempa bumi di Myanmar,” katanya. – Bernama