KUALA LUMPUR: Tidak ramai yang mengenali siapakah gerangan pemilik nama Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Md Hashim kecuali mereka yang mendalami dunia seni mempertahankan diri khususnya persilatan.
Melahirkan ribuan jaguh silat dan jurulatih seni mempertahankan diri negara serta mewujudkan latihan Tempur Tanpa Senjata pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, mungkin ramai tidak mengetahui beliau sebenarnya pengasas Silat Seni Gayong Malaysia.
Ketangkasan dan kehebatan mahaguru ini yang juga dikenali sebagai Rahman Sendo berpencak silat dan bermain senjata tidak dapat disangkal, malah turut menarik minat ramai ahli seni bela diri asing pada 1980-an untuk berguru dengannya, termasuklah anak murid aktor bela diri Hollywood Bruce Lee, iaitu Daniel Inosanto.
Tertarik dengan kisah kehidupan beliau yang juga orang Melayu pertama menjadi jurulatih tempur tentera laut British pada 1939 dan rasa rugi jika jaguh seni bela diri negara itu tidak diangkat, menjadi inspirasi SOL Pictures Sdn Bhd untuk menghasilkan filem berkenaan tokoh hebat ini yang meninggal dunia pada 1991.
“Kalau di Hong Kong, adanya kisah IP Man yang cukup terkenal dengan Wing Chun. Jadi, sudah tiba masanya untuk kita hasilkan sebuah filem tentang ikon seni bela diri tempatan yang wajar sekali kita banggakan, iaitu filem Gayong,” kata penerbit eksekutifnya Khairul Anuar Latip pada sidang media dan pelancaran Gayong, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, filem itu bukan tentang silat semata-mata tetapi membawa mesej mendalam serta pendedahan mengenai perjuangan seorang tokoh sebagai inspirasi buat semua.
“Untuk itu, kita juga membuat temu ramah bersama anak sulung Allahyarham, Siti Fadzilah dan banyak perkara menarik yang diceritakan selain memberi sokongan sepenuhnya untuk kami menghasilkan filem ini,” katanya.
Bakal diarahkan Faisol Ishak, filem itu membariskan bintang hebat, antaranya Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Syafie Naswip selaku tunjang utama, disokong dua pelakon aksi popular Yayan Ruhian dari Indonesia dan Chevanon Phukaokaew (Thailand).
“Semua pelakon ini merupakan pilihan pertama saya kerana yakin dengan pengalaman dan kemahiran lakonan mereka. Saya sudah lama mengenali Beto, Nabila dan Syafie, malah hubungan kami bagaikan keluarga.
“Kami juga kerap bekerjasama, dan kalau boleh untuk projek filem ini kami ingin cuba mencari kelainan supaya hasilnya dapat dijadikan kenangan sampai hari tua. Saya percaya barisan pelakon ini adalah terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Bertindak sebagai koreografer, Yayan yang juga menggalas watak sebagai pengamal silat dari Jawa bernama Wak Kesang, mengakui berdepan cabaran besar kerana perlu melatih pelakon bersilat dalam tempoh singkat sedangkan kebiasaannya beliau mengambil masa tiga bulan.
“Bagaimanapun untuk Gayong, saya hanya ada sebulan. Memang banyak tekanan juga, tetapi disebabkan watak utama Meor dilakonkan Beto, saya yakin prosesnya akan menjadi mudah dan lancar,” katanya yang pernah pernah berlakon filem Hollywood, antaranya Star Wars: The Force Awakens dan Beyond Skyline.
Bagi Nabila pula yang bakal menjayakan watak Kalsom, iaitu isteri kepada Meor, filem Gayong akan menamatkan penantiannya untuk berlakon dalam filem epik dan berskala besar selepas membawa watak Allahyarham Puan Sri Saloma dalam filem biopik.
“Filem ini bakal memberikan cabaran baharu buat saya kerana perlu berdepan dengan zaman peperangan, siap ada letupan bom macam filem Embun,” katanya.
Filem yang menelan belanja kira-kira RM7 juta ini bakal memulakan penggambaran pada 5 Oktober ini dan dijangka ditayangkan di pawagam tempatan pada pertengahan tahun depan. – Bernama