
KUALA LUMPUR: Pujian seharusnya diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Untuk seketika ramai yang tertanya-tanya bagaimana Perdana Menteri kita mampu mendamaikan dua negara anggota ASEAN yang sedang bergolak dalam ketegangan konflik yang berbahaya.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila seorang pegawai Kementerian Luar Thailand dilaporkan berkata bahawa mereka tidak memerlukan penglibatan pihak ketiga, keadaan itu menjadikan konflik itu lebih rumit.
Jurucakap itu Nikorndej Balakura dilaporkan sebagai berkata Thailand lebih suka untuk menyelesaikan isu itu secara rundingan dua hala.
Namun begitu, secara senyap dan tanpa digembar-gemburkan Anwar mengambil pendekatan untuk bergerak di belakang tabir menyusun satu gencatan senjata yang penuh bersejarah.
Usaha itu sesuatu yang sangat kompleks, apatah lagi apabila ia melibatkan ketegangan sejarah yang sudah lama terpendam, namun dengan kerja keras Kementerian Luar Malaysia, Anwar berjaya lakukannya.
Kejayaan ini sudah tentu memperkukuh kredibiliti beliau selaku Pengerusi ASEAN 2025. Amat janggal sekali jika beliau berbicara tentang perpaduan ASEAN, namun pada masa sama dua negara anggotanya saling melepaskan roket antara satu sama lain.
Konflik selama lima hari di sempadan – yang menyaksikan pertempuran artileri dan pemindahan besar-besaran penduduk awam – kini berakhir dengan satu gencatan senjata serta-merta dan tanpa sebarang syarat.
Ia satu campur tangan yang tuntas dan berkesan, sesuatu yang jarang dapat disaksikan dalam sejarah diplomasi Asia Tenggara.
Peranan Anwar sebagai orang tengah menerima pujian meluas – bukan sahaja kerana berjaya meredakan ketegangan, namun juga kerana menghidupkan semula kredibiliti ASEAN dalam menangani pertikaian antara negara anggotanya.
Bagi sebuah blok serantau yang sering dikritik kerana mengambil masa untuk bertindak, dalam isu ini, kepimpinan Malaysia telah mencatatkan satu perubahan yang sangat signifikan.
Para pengkritik sering melabel ASEAN sebagai hanya ‘tempat berbincang’, tetapi hakikatnya berbincang secara berterusan adalah jauh lebih baik daripada berperang.
Imej Anwar pastinya akan tercalar, jika beliau gagal membawa kedua-dua negara ke meja rundingan.
Namun apa yang benar-benar dapat dilihat ialah keupayaan Anwar menyatukan kedua-dua pihak untuk melakukan gencatan senjata, walaupun pada ketika berhadapan retorik nasionalisme yang semakin memuncak serta sensitiviti politik dalaman di Bangkok dan Phnom Penh.
Penyertaan pemerhati dari Amerika Syarikat dan China pula, menyerlahkan lagi kecekapan Malaysia dalam mengimbangi dua kuasa besar. Pada era persaingan kuasa dunia semakin sengit di Asia Tenggara, sikap berkecuali Malaysia menjadi satu kekuatan, bukan kelemahan.
Sememangnya pembaharuan ekonomi dan isu tadbir urus dalam negara masih mendominasi perbincangan rakyat. Namun, kejayaan diplomatik ini mungkin menjadi suntikan yang diperlukan dalam membentuk naratif kepimpinan Anwar.
Ia memperlihatkan bagaimana Malaysia bukan sahaja bertindak balas, tetapi berani tampil dengan pendirian tegas dan konstruktif di pentas antarabangsa.
Tentu sekali perjalanan selepas ini masih berliku. Gencatan senjata bukanlah satu perjanjian damai. Pertikaian sempadan dan isu politik antara Thailand dan Kemboja masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Seorang wartawan veteran dari Thailand sempat menghantar mesej kepada saya yang memberi amaran supaya tidak meraikan kejayaan itu terlalu awal, pada ketika sempadan masih belum benar-benar tenang.
Malah, BBC melaporkan ‘peluru dan roket masih tiba di kedua-dua negara walaupun rundingan damai sedang berlangsung; ia akan mengambil sedikit masa untuk meredakan ketegangan di kedua-dua belah pihak.’
Namun begitu, tawaran Malaysia untuk memudahkan dialog yang berterusan – dan mungkin membentuk satu kerangka pasukan pengaman – menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar pengurus krisis, tetapi selaku pemudah cara jangka panjang.
Anwar Ibrahim sememangnya terkenal sebagai seorang reformis dan pencetus konsensus. Kini, cara beliau menangani krisis itu telah menambah satu lagi pencapaian besar dalam portfolio kepimpinan beliau: seorang negarawan serantau.
Buat Malaysia, saat ini seharusnya menjadi peringatan mengenai apa yang boleh dicapai menerusi diplomasi yang bijak dan kepimpinan berprinsip.
BBC melaporkan bahawa Presiden Donald Trump mungkin memainkan peranan dengan memberi tekanan melalui rundingan perdagangan, namun Malaysia yang menerima pujian.
“Dunia sedang memerhati dan Malaysia berjaya melaksanakannya,” lapor BBC. — Bernama