
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie mengingatkan komuniti di konstituensi itu agar sambutan Hari Gawai Dayak bukan sahaja masa untuk bersuka ria dan bergembira, tetapi juga adalah masa untuk kita semua merenung kembali perjalanan hidup kita pada masa lalu.
Beliau berkata ia adalah waktu untuk kita melahirkan rasa syukur atas hasil tuaian yang melimpah serta memanjatkan doa agar tahun hadapan akan lebih makmur dan sejahtera.
“Sambutan Hari Gawai Dayak yang disambut setiap 1 Jun ini juga menjadi detik yang amat bermakna untuk ahli keluarga untuk berkumpul semula, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menikmati saat-saat bersama dengan orang tersayang dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Pra-Gawai Sekolah Kebangsaan (SK) Temudok Kem, semalam.
Dalam ucapannya, Doris turut menekankan betapa pentingnya pendidikan dalam membina masa depan yang lebih cemerlang.
Beliau menyuarakan harapan dan aspirasi agar komuniti Sri Aman menjadikan pendidikan sebagai keutamaan.
“Saya amat berharap agar anak-anak muda Sri Aman terus melangkah ke hadapan dengan semangat juang yang tinggi dan menjadikan pendidikan sebagai tunjang kepada kemajuan diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.
Turut hadir Guru Besar SK Temudok Kem, Augustine Beckwell, Yang Dipertua Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG), Zulrafiza Sani serta Superintendent Frediel Nyanbong.
Oleh Adi Safarman