
KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim menyatakan sokongan terhadap penganjuran majlis Rami Gawai Bikuab 2025 yang bukan sahaja memelihara kebudayaan, malah mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai generasi.
“Program seperti ini amat bermakna kerana ia menyatupadukan masyarakat tanpa mengira usia. Ia juga memastikan kelestarian budaya dan keharmonian dalam komuniti yang besar seperti di Kampung Quop ini,” katanya merasmikan majlis Rami Gawai Bikuab 2025 di Dewan Prima Bai Mandai, Kampung Quop, kelmarin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan acara yang meriah dan penuh bermakna.
Majlis dianjurkan oleh Jawatankuasa Penganjur Rami Gawai Bikuab itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang menggambarkan keunikan warisan masyarakat tempatan.
Antara yang menarik perhatian ialah persembahan gong dan gendang tradisional oleh warga emas, Dreaming Sakoi, 92 tahun, pertandingan Dayung Pimaguh dan Dari Pimegan, alunan Sape oleh adik Elizabeth dan Easther serta tarian Rejang Dayung oleh kumpulan kebudayaan Kampung Quop dan artis jemputan. – UKAS