
SARIKEI: Sambutan Gawai Dayak yang diraikan bersama masyarakat pelbagai kaum di Sarawak bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan, malah turut menyerlahkan keunikan budaya dan warisan negeri ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, amalan kunjung-mengunjung serta saling meraikan perayaan antara kaum berupaya memperkukuh keharmonian dan menyemai semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Budaya dan adat resam pelbagai kaum di Sarawak telah membentuk identiti budaya unik.
“Inilah kekuatan sebenar masyarakat kita di Sarawak,” katanya ketika berucap sempena lawatan ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Selangan sempena Gawai Dayak, baru-baru ini.
Antara rumah panjang yang dikunjungi oleh beliau adalah Rumah (RH) Ugil Rebali, RH Bansa Nanggal, RH Sabah Sawong dan RH Lingga Ujang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menegaskan pembangunan infrastruktur terus menjadi keutamaan kerajaan Sarawak dalam usaha memperbaiki taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat dan pelbagai inisiatif pembangunan giat dilaksanakan agar semua rakyat Sarawak dapat menikmati kemajuan secara saksama,” katanya.
Tiong Sii turut berkongsi kejayaan kerajaan Sarawak dalam menyiapkan projek jalan dan jambatan baharu menghubungkan Sarikei ke Tanjung Manis yang menelan belanja lebih RM300 juta.
Selain itu, katanya, sokongan rakyat Sarawak di Parlimen Sarikei dan DUN Repok membolehkan beliau menjadi wakil rakyat di Parlimen dan DUN.
“Dengan mandat ini, saya akan terus berjuang demi membawa lebih banyak kemajuan kepada kawasan Sarikei dan Meradong,” katanya.
Oleh Earl Anek