
BETONG: Lebih 350 orang penduduk tempatan membanjiri Dewan Millennia, Debak bagi memeriahkan Majlis Mantar Gawai Dayak Peringkat DUN Saribas yang berlangsung penuh warna-warni dan semangat perpaduan, semalam.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam menzahirkan rasa bangga atas semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Saribas dalam menyambut Gawai Dayak.
Beliau menyatakan bahawa pelbagai pembangunan yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada sokongan padu rakyat kepada kepimpinan negeri.
“Antara pembangunan yang akan kita nikmati ialah perasmian Jambatan Saribas di Beladin yang dijadualkan Ahad ini. Ia adalah bukti nyata kemajuan yang dibawa oleh kerajaan kepada rakyat luar bandar,” katanya semasa Majlis Mantar Gawai Dayak Peringkat DUN Saribas di Dewan Millennia, Debak, semalam.

Beliau turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM8,000 kepada setiap rumah panjang di DUN Saribas sebagai tanda penghargaan sempena sambutan Gawai.
Sumbangan tambahan RM7,000 daripada Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu juga diumumkan dalam majlis tersebut.
Katanya, DUN Saribas turut menerima manfaat daripada Agensi Pembangunan Wilayah Betong (BDDA) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi setiap DUN, yang jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar. -UKAS