
BETONG: Sebagaimana jambatan menghubungkan bandar dan kampung-kampung di negeri ini, sambutan Gawai Dayak pada musim ini juga harus menjadi ‘jambatan’ untuk mengukuhkan ikatan persahabatan, perpaduan dan keharmonian antara kita semua.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu mengajak rakyat di negeri ini terus meraikan kepelbagaian kita di bawah semangat ‘Segulai Sejalai, Bersama dalam Perpaduan’.
“Negeri kita telah mencapai kemajuan yang mengagumkan dalam pembangunan, terima kasih kepada dua faktor utama iaitu kestabilan dan keharmonian kaum kita, walaupun berada di negeri yang mempunyai sebanyak 34 kumpulan etnik yang berbeza.
“Kepimpinan berwawasan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah pemimpin untuk semua kaum, tanpa mengira bangsa dan agama.
“Dasar keterangkuman beliau, seperti yang termaktub dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), memastikan tiada individu termasuk masyarakat Dayak akan tertinggal dalam perjalanan ke arah kemajuan di Sarawak.
“Selaras dengan wawasan ini, kerajaan Sarawak telah komited pembiayaan yang besar untuk pembangunan luar bandar. Di bawah Belanjawan 2024, RM5.6 bilion telah diperuntukkan dan ini telah meningkat kepada RM6.8 bilion dalam Bajet 2025.
“Angka ini mencerminkan komitmen kita yang tidak berbelah bahagi untuk memartabatkan masyarakat luar bandar di seluruh Sarawak,” katanya dalam perutusan sempena sambutan perayaan Gawai Dayak hari ini.
Uggah berkata tahun ini, Sarawak sedang menuai projek pembinaan jambatan, lima daripadanya telah siap termasuk Jambatan Batang Saribas 1 di Pusa dan lain-lain seperti Jambatan Jepak, Bintulu Muara Lassa, Marudi dan Batang Rajang.
Enam lagi, termasuk jambatan sungai terpanjang di negara iaitu Jambatan Batang Lupar 1 yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Oleh itu, wajar masyarakat Dayak meluahkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak di atas keterangkuman kerajaan dan dasar pembangunan luar bandar.
“Biarlah kita terus menyokong Premier kita dalam usaha kerajaan Sarawak untuk memartabatkan Sarawak menjadi sebuah wilayah maju menjelang 2030,” ujarnya.
Uggah turut menitipkan pesanan agar masyarakat berbilang kaum di negeri ini terutamanya yang bakal menyambut perayaan Gawai Dayak sama ada menggunakan pengangkutan sungai, jalan raya, udara agar kekal selamat dan mengambil langkah berjaga-jaga agar anda dan orang tersayang tiba dengan selamat.
“Selamat Ngintu Hari Gawai Dayak 2025, Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua, Tubuh Kitai Besemukuh Betambah Mayuh, Betuchung Baka Bukit Nungkat Neraja, Bekebung Baka Langit, Terang Baka Bulan Purnama, Ooohhaaaa,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman