
SARATOK: Keunikan sambutan Hari Gawai yang disambut pada hari ini bukan hanya berperanan sebagai platform mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tetapi juga menyerlahkan nama Sarawak di mata di dunia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kehadiran kaum lain yang turut sama meraikan perayaan itu adalah sesuatu yang cukup istimewa dan unik.
Menurutnya, kepelbagaian dalam sambutan perayaan berkenaan memiliki nilainya yang tersendiri, mengagumkan ramai pihak sekali gus menjadi simbolik penyatuan rakyat Sarawak walaupun berbeza kaum dan agama.
“Ini sudah menjadi satu kebiasaan namun bagi pengunjung luar yang pertama kali datang ke sini, suasana ini sesuatu yang amat luar biasa.
“Saya berharap budaya ini dapat dipertahankan kerana perpaduan asas penting kepada kestabilan politik dan pembangunan,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.
Mohamad Duri berkata, Hari Gawai merupakan sambutan perayaan bagi masyarakat Dayak namun, kaum lain boleh menjadikannya sebagai wadah menjalinkan hubungan yang lebih erat.
Ujarnya, amalan baik itu bukan sahaja semata-mata tradisi tetapi juga mampu membentuk sebuah masyarakat yang bertolak-ansur dan saling faham memahami antara satu sama lain.
“Oleh itu, sambutan perayaan memberi memberi peluang kepada kita lebih memahami adat resam dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Bagi saya amalan baik ini perlu terus dipertahankan,” tambahnya sambil mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada yang meraikannya pada hari ini.
Oleh Adi Safarman