
KRIAN: Perayaan Gawai Dayak disambut selepas menuai padi bagi memberi kesyukuran dengan hasil tuaian, namun kini perayaan Gawai Dayak disambut untuk berterima kasih dengan hasil kerja yang telah diperolehi pada tahun sebelumnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata sambutan perayaan Gawai Dayak juga akan merapatkan lagi perhubungan persaudaraan sanak saudara kerana mereka yang mencari rezeki di bandar akan balik ke kampung halaman.
“Sambutan perayaan Gawai Dayak juga mampu menjadi platform kepada menyatukan komuniti di Sarawak. Hubungan kekeluargaan sama ada dekat atau yang jauh dapat dieratkan lagi, selain semangat kerjasama dan perpaduan kalangan penduduk kampung dan komuniti setempat.
“Hari Gawai Dayak adalah perayaan tradisi yang disambut pada 1 Jun setiap tahun bagi meraikan kejayaan, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada tuah atas rezeki padi dan yang diperolehi setiap tahun.
“Saya berpendapat bahawa Gawai Dayak juga bagi meraikan kejayaan yang dicapai dalam perspektif lebih luas seperti kejayaan dalam aktiviti pertanian, ekonomi, kerjaya, pendidikan dan sebagainya secara individu, keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam Pra Gawai Sekolah Kebangsaan (SK) Wong Besi di Dewan Sri Limat sekolah tersebut, semalam.
Friday berkata rakyat di negeri ini seharusnya bersyukur dengan nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi sejak sekian lama.
“Kepelbagaian perayaan yang disambut meriah oleh rakyat Sarawak seperti Gawai Dayak, Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan sebagainya menjadi lambang keunikan negeri ini bahkan Malaysia dalam menyemai semangat perpaduan masyarakat.
“Jika kita lihat pada hari ini, kita telah menyambut setiap perayaan yang diraikan oleh setiap kaum yang tinggal di negara ini dengan penuh aman dan harmoni.
“Dengan tiada kekangan, tiada perasaan ragu-ragu dan disambut dengan penuh meriah bagi setiap aktiviti yang diadakan, ia telah membuktikan bahawa perpaduan negeri kita amat kukuh,” jelas Friday.
Turut hadir pada majlis tersebut iaitu Guru Besar SK Wong Besi, Ustaz Abdul Malik Deni, Yang Dipertua PIBG SK Wong Besi, Jimbai Radin, Penghulu Dickson Chendang dan penduduk kawasan yang berdekatan.
Oleh Adi Safarman