
BINTANGOR: Perpaduan komuniti jelas terpancar di Rumah Nyawin, Ulu Stras, apabila sambutan Gawai Antu yang berlangsung hari ini turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, yang hadir beramah mesra bersama masyarakat.
Katanya, sambutan yang melibatkan lima pintu Rumah Nyawin itu diadakan mengikut adat tradisi masyarakat Iban bagi memperingati roh nenek moyang serta memelihara warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.
“Gawai Antu bukan sekadar satu perayaan adat, tetapi lambang jati diri serta kekuatan hubungan kekeluargaan dalam komuniti rumah panjang.
“Saya amat menghargai usaha penduduk Rumah Nyawin kerana terus mempertahankan adat resam yang menjadi identiti masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui media di Rumah Nyawin, semalam.
Kehadiran Koung Hiing di sambutan Gawai Antu tersebut turut memberi ruang interaksi secara dekat antara pemimpin dan masyarakat, termasuk dialog ringkas bersama tuai rumah serta wakil komuniti bagi mendengar pandangan dan keperluan penduduk.
“Selain memelihara warisan, sambutan sebegini juga berperanan mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat agar maklum balas di peringkat komuniti dapat disalurkan dengan lebih baik.
“Kesepakatan dalam kalangan penduduk merupakan faktor penting bagi memastikan keharmonian dan kelangsungan adat di kawasan ini terus dipelihara,” katanya.
Katanya, suasana sambutan berlangsung penuh muhibah dengan penyertaan aktif komuniti, termasuk jamuan tradisional dan ritual Gawai Antu yang dipimpin oleh pemimpin rumah panjang mengikut adat.
“Kita berharap generasi muda terus terlibat dan meneruskan kelestarian adat ini agar ia tidak hilang ditelan zaman,” tambahnya.
Oleh Earl Anek