
SEBAUH: Upacara Gawai Antu yang berlangsung di Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, Bintulu disambut penuh adat dan warisan budaya masyarakat Iban, sekali gus memperlihatkan keunikan tradisi yang masih utuh diamalkan hingga ke hari ini.
Gawai Antu atau dikenali juga sebagai Gawai Ngelumbong merupakan salah satu upacara paling penting dalam budaya Iban, khususnya bagi menghormati dan meraikan roh nenek moyang yang telah meninggal dunia.
Menurut Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, dalam satu hantaran di Facebook malam tadi, kira-kira 2,000 orang termasuk penghuni rumah panjang 53 pintu dan penduduk sekitar hadir bagi memeriahkan upacara kerohanian itu yang bermula dengan acara Niki ka Temuai sekitar 4.30 petang.
Majlis kemudian diteruskan dengan dua upacara penting iaitu Muai Asi ke Sebayan dan Ngalu ka Sebayan, yang merupakan simbolik penghantaran bekalan dan sambutan kedatangan roh leluhur dari alam Sebayan (alam roh).
“Upacara Ngalu ka Sebayan cukup mencuri tumpuan apabila beberapa penduduk mengenakan pakaian seperti ‘pengabang’, iaitu perwatakan roh atau utusan dari alam kematian,” jelas beliau.
Para ‘pengabang’ ini berjalan dan menari di sepanjang tanju, ruang hadapan rumah Panjang yang dihias dengan 15 khemah khas.
Dalam suasana penuh simbolik, mereka turut disembur dengan air paip oleh penduduk sebagai sebahagian daripada adat penyucian dan penyambutan roh.
“Suasana menjadi begitu gamat dan meriah dengan gelak tawa serta sorakan, terutama apabila ahli keluarga si mati turut menyertai persembahan ini.
“Ia bukan sahaja melambangkan penghormatan kepada roh, tetapi juga memperkukuh ikatan kekeluargaan dalam komuniti,” katanya.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan upacara Ngabas Ranyai iaitu pusingan simbolik mengelilingi pokok Ranyai (pohon hiasan utama), dan Nyabung Telu, satu bentuk pertandingan atau persembahan tradisi.
Sekitar 1.30 pagi, upacara penutup Nebang Ranyai dilangsungkan sebagai kemuncak kepada seluruh sambutan Gawai Antu, menandakan tamatnya penghormatan kepada roh yang diraikan bagi 15 bilik di rumah panjang tersebut.
“Saya berasa amat bertuah dapat menyertai upacara budaya yang biasanya diadakan tiga tahun sekali ini.
“Ia bukan sahaja satu pengalaman yang mengujakan, tetapi juga peluang memperkukuh hubungan kekeluargaan dan silaturahim sesama warga rumah panjang,” ujar Nanta lagi.
Oleh Adum Liu