
PHNOM PENH: Gaun pengantin anggun buatan Vietnam muncul sebagai sensasi terbaharu di pentas antarabangsa dan kini menjadi rebutan pengantin dari seluruh dunia.
Tukang jahit kreatif, dari ibu kota Hanoi ke bandar selatan Ho Chi Minh menghasilkan busana perkahwinan yang direka dengan teliti, mampu milik dan diperibadikan yang menembusi pasaran antarabangsa.
Tertawan dengan kecantikannya, pengantin dari Barat hingga Asia kini berpusu-pusu mendapatkan aksesori perkahwinan Vietnam itu, yang sebelum ini didominasi negara jiran China.
“Faktor penentu masih pada keperibadian dan kemahiran tukang jahit Vietnam,” kata pemilik kedai Ngay Mai Dam Cuoi (Tomorrow’s Wedding) yang berpangkalan di Bandar Ho Chi Minh, Quynh Nhu kepada portal berita VnExpress.
“Pelanggan antarabangsa sering terkejut kerana mereka boleh menyelaraskan secara terperinci mengikut perkadaran badan mereka dengan tepat pada kos yang berpatutan.”


Selama beberapa dekad, pereka pengantin profesional Vietnam dan pembuat corak khusus telah mengasah kraf mereka — menggabungkan kreativiti dengan inovasi — untuk menghasilkan reka bentuk buatan tangan disesuaikan yang menambah keunikan tersendiri pada industri perkahwinan.
Tukang jahit Vietnam yang rajin mampu menghasilkan pelbagai gaya dalam masa beberapa minggu, daripada gaun duyung elegan dihiasi sulaman renda yang rumit kepada hiasan manik halus dan gaun berbelah tinggi glamor sekali gus menetapkan standard baharu.
Menurut Nhu, 40 peratus pelanggannya adalah dari Australia, Perancis, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
Ramai wanita Vietnam generasi kedua dan ketiga yang tinggal di luar negara turut menyertai senarai panjang pelanggannya, lapor VnExpress.
Pakaian perkahwinan biasa yang ringkas yang dihasilkan di sebuah studio di Ho Chi Minh boleh menelan kos kira-kira AS$450 (RM1,827), manakala pakaian dengan reka bentuk lebih rumit oleh mencecah AS$3,200 (RM12,991), menurut laman web butik popular Vietnam.
Menurut kajian Knot Real Weddings 2026 yang berpangkalan di AS, secara purata, pengantin perempuan AS membayar dari AS$1,200 hingga AS$3,200 (RM4,872 hingga RM12,991) untuk gaun perkahwinan.
Globalisasi telah menghapuskan sempadan budaya dan komersial secara berterusan, manakala kemunculan e-dagang mempercepat perdagangan transnasional dan permintaan pengguna, didorong oleh golongan milenium.
Industri perkahwinan Vietnam, bagaimanapun, turut berkembang pesat daripada pembaharuan “Doi Moi” (Pengubahsuaian) negara yang dilancarkan pada 1986 untuk membina semula dan memodenkan ekonomi selepas berdekad perang.
Ia mengubah negara Asia Tenggara itu daripada ekonomi pertanian kepada hab pembuatan dan eksport yang teguh, yang mampu menghasilkan teknologi termaju dan bersaing dalam pasaran global.
Keluaran dalam negara kasar Vietnam mengatasi Thailand, menjadikannya ekonomi kedua terbesar di rantau ini setakat April tahun ini.
Eksport tekstil dan pakaian negara bernilai AS$19 bilion (RM77 bilion) dalam tempoh lima bulan pertama 2026 merupakan pemacu ekonomi utama.
Selain gaun pengantin berjenama, Vietnam turut mengeksport pakaian siap dalam skala besar.
Tarif AS yang dikenakan oleh Washington tahun lepas sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada pembuat aksesori perkahwinan Vietnam.
Menurut laman web Persatuan Peruncit Pengantin Kebangsaan AS, hampir 90 peratus pakaian pengantin yang dijual di kedai runcit Amerika adalah dari China.
Namun cukai yang tinggi telah menghalang import aksesori perkahwinan buatan China, membolehkan pengeluar lain, seperti Vietnam, menembusi pasaran khusus itu.- Bernama