
ROM: Rino Gattuso melepaskan peranannya sebagai ketua jurulatih Itali atas persetujuan bersama pada Jumaat selepas juara dunia empat kali itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2026 buat kali ketiga berturut-turut susulan kekalahan penentuan penalti kepada Bosnia dalam final play-off pada Selasa.
“Dengan hati yang berat, selepas gagal mencapai sasaran yang kami tetapkan, saya menganggap tempoh saya di bangku simpanan pasukan kebangsaan telah berakhir,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), menurut agensi berita Itali ANSA.
“Pasukan kebangsaan Itali adalah aset paling berharga dalam bola sepak, sebab itu adalah wajar untuk memberi ruang kepada penilaian teknikal bagi masa depan dilakukan seawal mungkin,” kata bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu.
Gattuso mengucapkan terima kasih kepada Presiden FIGC Gabriele Gravina dan ketua delegasi Gianluigi Buffon, bersama semua kakitangan Persekutuan atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepadanya.
Pengunduran itu menyusuli peletakan jawatan Gravina dan bekas penjaga gol Juventus serta Itali, Buffon, yang seperti Gattuso merupakan wira kemenangan Piala Dunia 2006.
Menurut ANSA yang memetik media Itali, ketua jurulatih Napoli Antonio Conte dan pengendali AC Milan Massimiliano Allegri menjadi pilihan utama untuk mengambil alih jawatan itu, manakala jurulatih yang membawa Itali menjuarai Kejuaraan Eropah 2020 Roberto Mancini serta jurulatih Palermo Filippi Inzaghi turut dilaporkan berada dalam senarai itu. – Bernama-ANSA