Gas metana dikesan di tapak pembinaan NCH di Kuala Lawas

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PEMANTAUAN keselamatan dijalankan di tapak pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) di Kuala Lawas selepas pengesanan gas metana.

LAWAS: Gas metana yang mudah terbakar telah dikesan di tapak pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) di Kampung Dato, Kuala Lawas, pada Rabu lalu.

Perkara itu disahkan hasil pemantauan kali kedua oleh Pasukan Hazmat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Zon Bintulu pada hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Clarence D. Primus Tiandun berkata, pemantauan tersebut dibuat susulan bacaan awal yang diperoleh semalam bagi menilai tahap keselamatan kawasan berkenaan sebelum sebarang aktiviti diteruskan.

“Hasil pemantauan kali kedua mendapati gas metana masih dikesan di lokasi dan berada pada tahap yang berisiko kepada keselamatan awam.

“Sebanyak tiga bacaan diambil menggunakan peralatan 4 Gas Meter (GFG) dan kesemuanya menunjukkan bacaan Had Bawah Letupan (LEL) sehingga 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pasukan Hazmat JBPM mengesyorkan kawasan berkenaan ditutup serta-merta bagi mengelakkan risiko kebakaran atau letupan.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapatkan khidmat nasihat serta pengesahan daripada Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas kerja penggerudian dijalankan oleh pihak kontraktor di tapak pembinaan berkenaan.

Oleh Adeng Edrus