
KUALA LUMPUR: Gas Malaysia Bhd, melantik Azli Mohamed sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif baharunya berkuat kuasa pada 1 April 2026.
Beliau akan menggantikan Ahmad Hashimi Abdul Manap yang akan bersara pada 31 Mac 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengedaran gas asli itu berkata Azli, 50, mempunyai pengalaman kepimpinan kanan lebih dua dekad merentasi sektor tenaga, penerbangan dan perindustrian.
Beliau baru-baru ini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Siemens Energy Malaysia.
Sebelum ini, beliau pernah memegang peranan kepimpinan utama dalam syarikat multinasional dan syarikat senaraian awam termasuk sebagai Ketua Pegawai Kelestarian dan Usaha niaga AEON Group Malaysia, Ketua Pegawai Transformasi Capital A Bhd, Ketua Pegawai Strategi Malaysia Airports Holdings Bhd dan Ketua Pegawai Operasi GE Malaysia.
Selain daripada kerjaya korporatnya, Azli kini merupakan ahli Majlis Penasihat Nasional untuk Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC) Malaysia & Brunei.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat kepada dana serantau Openspace Capital dan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC). – Bernama