


PETRA JAYA: Garis panduan mengenai sambutan perayaan agama lain bagi orang Islam amat tidak bersesuaian dengan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hubungan dengan Tuhan adalah urusan peribadi setiap individu, namun Islam turut menyeru agar menjaga hubungan baik dengan penganut agama lain.
“Dalam al-Quran, ada disebut tentang ‘Habluminallah’, iaitu hubungan seseorang dengan Tuhan, dan itu adalah urusan antara individu dengan Tuhan.
“Dalam Islam, kita juga diajar untuk memperkukuh persefahaman dengan sesama manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar pada majlis perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menjelaskan bahawa PBB akan terus membela rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, agama-agama lain turut menerima sokongan berterusan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), termasuk dengan pembinaan kompleks bernilai RM70 juta untuk unit tersebut.
“Apabila penganut agama-agama lain beribadat untuk Sarawak, mereka mendoakan kemakmuran untuk kita semua,” katanya.
Tambah Abang Johari, hubungan dengan sesama manusia juga diketengahkan melalui kerjasama antara komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Hubungan sesama manusia itu mesti dijaga. Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, “You Never Walk Alone.”
“PBB tidak bersendirian. PBB bekerjasama dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Kita tidak bersendirian dan sebab itulah kita mempunyai persefahaman.
“Asalkan kita tidak ‘bentes’ sesama sendiri. Dengan semangat itu, kita tidak akan bekerja sendirian demi masa depan Sarawak,” katanya.
Oleh Shah Izzat dan Mohd Neenatul Aizal