
SIBU: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang dikenalinya menerusi aplikasi janji temu, Bumble.
Mangsa, yang bekerja dalam bidang pemasaran jualan, mendakwa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM102,992.40 selepas diperdaya oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Lucian Hee Hao Yu – kononnya seorang jurutera dan pengarah di syarikat Hong Leong Group.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata mangsa mula berkenalan dengan suspek pada 11 Januari lalu melalui aplikasi Bumble sebelum hubungan mereka berlanjutan ke aplikasi WhatsApp.
“Suspek kemudian menawarkan skim pelaburan dikenali sebagai ‘Private Placement’. Mangsa yang tertarik dengan pulangan tinggi dijanjikan telah mengisi maklumat peribadi di laman web privatemutuallg.com seperti diarahkan oleh suspek.
“Mangsa seterusnya membuat 12 transaksi berjumlah RM102,992.40 ke dalam tiga akaun tempatan antara 6 Februari hingga 6 Mac 2025. Lebih membimbangkan, mangsa turut membuat pinjaman bank bagi membiayai pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata, selepas beberapa minggu tanpa menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, mangsa menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis pada 24 April lalu.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah serta melakukan semakan dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Semakan boleh dibuat menerusi laman web rasmi BNM di www.bnm.gov.my dan SC di www.sc.com.my, atau melalui aplikasi Investment Checker.
“Orang ramai juga digesa menyemak akaun bank dan nombor telefon meragukan melalui laman web Semak Mule di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.
“Untuk maklumat lanjut atau sebarang nasihat, sila hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting