
LAWAS: Perkhidmatan telekomunikasi di daerah ini terus mengalami gangguan serius sehingga menjejaskan pelbagai urusan harian penduduk, termasuk golongan peniaga.
Seorang penjawat awam, Senawi Abang, berkata masalah itu telah berlarutan lebih sebulan dan menimbulkan kesulitan besar apabila banyak urusan dalam talian tidak dapat diselesaikan.
“Setiap hari saya membuat ujian kelajuan internet dan hasilnya amat mengecewakan. Banyak urusan terganggu seperti laporan atas talian, pembelian dan pembayaran digital. Urusan sekolah anak-anak juga terjejas… maklumlah, kini hampir semua perkara memerlukan capaian internet,” katanya.
Beliau berharap pihak berwajib di peringkat negeri mahupun Persekutuan segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang menjejaskan kehidupan rakyat.
Gangguan telekomunikasi di Daerah Lawas sebelum ini turut dilaporkan berlaku dengan kerap sejak November dan berlarutan hingga Disember, namun isu itu masih belum menemui penyelesaian.
Menurut penduduk, pelbagai pihak dilihat saling menuding jari, sedangkan masalah berkenaan semakin berlarutan dan membebankan masyarakat.
Oleh Adeng Edrus