
BEKENU: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak memaklumkan gangguan tekanan air berjadual akan berlaku bermula Khamis, 2 Oktober hingga Ahad, 5 Oktober 2025 melibatkan beberapa kawasan di Daerah Subis.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Lebuh Raya Pan Borneo dari Rumah Robert Suai hingga Rumah Johnson, kawasan Simpang Ngu, Feeder Road Simpang Ngu hingga Sepupok, kawasan Sepupok dan sekitarnya, Jalan Pesisir Pantai dari Sepupok hingga Kuala Sibuti, kawasan Saeh Merah dan Putih, Ladang 3 dan sekitar, Skim Rancangan Sepupok, serta Jalan Ulu Niah dan kawasan berhampiran.
Menurut kenyataan JBALB, gangguan ini bertujuan memberi ruang kepada kontraktor menjalankan kerja-kerja pencucian dan pembersihan tangki simpanan air terawat di Loji Rawatan Air Suai.
Sepanjang tempoh tersebut, operasi loji akan berjalan pada kadar minimum, yang dijangka menyebabkan tekanan air rendah serta bekalan tidak menentu di beberapa kawasan.
JBALB menasihatkan pengguna agar menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan harian dan memberi jaminan bahawa gangguan akan diminimumkan dengan pemulihan bekalan secara berperingkat sebaik sahaja kerja penyelenggaraan selesai.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211, melayari https://jbalb.sarawak.gov.my, atau mengikuti saluran media sosial rasmi JBALB Sarawak.