JITRA: Penduduk di empat buah kampung di Mukim Jeram, Tunjang, di sini merayu kerajaan negeri segera bertindak menyelesaikan masalah gangguan lalat yang membelenggu kehidupan mereka sejak lebih 20 tahun lepas.
Kampung yang terlibat adalah Kampung Tanjung, Kampung Guar, Kampung Gelong Rambai dan Kampung Tanah Rang dan penduduk mendakwa kehadiran lalat yang banyak itu berpunca daripada ladang ternakan ayam terletak berdekatan kawasan itu.
Seorang penduduk Hajar Ahmad, 67, berkata penduduk kampung telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah itu namun sehingga kini belum ada tindakan yang berkesan diambil.
“Kami tidak menghalang ladang itu beroperasi, tapi kena jaga kebajikan penduduk sekitar. Rumah saya pula paling dekat dengan ladang ini, dalam 20 meter saja, jadi lagi teruk terkesan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Katanya, selain berasa tidak selesa dengan keadaan itu, beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan penyebaran penyakit bawaan serangga itu yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.
Peniaga kedai makan, Salmyza Hashim, 40, pula berkata setiap hari lebih 20 kertas perangkap lalat digunakan untuk membasmi serangga itu yang sering menimbulkan keadaan tidak selesa kepada pelanggannya.
“Dari 8.00 pagi lalat telah memenuhi meja makan pelanggan, pada pinggan mangkuk dan hinggap pada makanan, jadi kami sentiasa tutup makanan agar tidak rosak,” katanya.
Sementara itu, masalah berkenaan mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri Dr Robert Ling Kui Ee yang membuat tinjauan di ladang berkenaan semalam.
Bercakap kepada pemberita selepas tinjauan itu, beliau berkata ladang berkenaan beroperasi secara sah, namun ada beberapa perkara berkaitan operasinya didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Saya telah minta pengusahanya untuk menambah baik sistem perparitan sedia ada agar air kumbahan najis ayam dapat dialirkan dengan lancar, yang lain kita akan siasat sama ada pengusaha mengikut syarat yang ditetapkan atau tidak.
“Saya juga meminta pemilik ladang menyembur ubat lalat dengan lebih kerap untuk membunuh lalat agar masalah ini sama-sama dapat diatasi,” katanya.– Bernama