SIMANGGANG: Beberapa kawasan di Daerah Lingga dan Pantu berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual pada hari ini berikutan paras air mentah di muka sauk berada pada tahap rendah.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak memaklumkan gangguan tersebut berpunca daripada keadaan paras air mentah yang menjejaskan kapasiti pengeluaran air terawat di beberapa loji rawatan air.
Di Daerah Lingga, kawasan terjejas melibatkan seluruh kawasan Gran Stumbin, Tanjung Buat, Empelanjau, Bakong Melayu, Seduku Agropolitan serta kawasan berdekatan.
JBALB memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Stumbin dan LRA Seduku sedang berhadapan gangguan operasi akibat keadaan paras air mentah di muka sauk yang rendah.
Situasi itu menyebabkan kapasiti pengeluaran air terawat terjejas dan sebahagian pengguna mungkin mengalami gangguan bekalan atau tekanan air rendah.
Bagi memastikan agihan bekalan air dapat dilaksanakan secara seimbang kepada semua pengguna, catuan bekalan air akan dijalankan sepanjang tempoh gangguan.
Bekalan air bagi kawasan terbabit akan ditutup dan dilepaskan mengikut jadual waktu yang ditetapkan, dengan tempoh bekalan dibuka antara 5.00 pagi hingga 9.00 pagi serta 5.00 petang hingga 9.00 malam.

JBALB menjangkakan paras air mentah kembali normal pada 10.00 pagi, namun keadaan sebenar turut bergantung kepada situasi sumber air semasa.
Sementara itu, di Daerah Pantu, gangguan bekalan turut melibatkan seluruh kawasan Pantu, Sungai Tengang, Rapak dan Lachau.
LRA Pantu turut berhadapan gangguan operasi berikutan paras air mentah di muka sauk yang rendah sehingga menjejaskan kapasiti pengeluaran air terawat.
JBALB menjelaskan bekalan air di kawasan Pantu akan ditutup dan dilepaskan bergantung kepada keadaan pasang surut paras air mentah di muka sauk Pantu.
Orang ramai di kedua-dua daerah berkenaan dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan selain menggunakan air secara berhemah.
JBALB turut memaklumkan pihaknya akan berusaha memastikan gangguan dapat diselesaikan secepat mungkin dan bekalan air dipulihkan secara berperingkat mengikut keadaan kawasan yang terjejas.
Sebarang kesulitan yang timbul akibat gangguan berkenaan amat dikesali, manakala pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211.
Oleh Adi Safarman



